Selepas 23 tahun terpisah, pelakon Mawar Rashid meluahkan rasa teruja akhirnya dapat bertentang mata dengan adik kandungnya yang dikenali sebagai Aireen.
Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 28, berkata, pertemuan itu juga membuatkan dia mula merasai perasaan bergelar seorang kakak.
“Inilah kali pertama jumpa adik kandung Mawar. Dapat peluk, bercakap dan kenal antara satu sama lain.
“Aireen ada seorang lagi adik perempuan jadi saya ada dua orang adik kandung perempuan. Selama ini saya rasa saya anak bongsu,” katanya kepada mStar.
Mawar berkongsi detik pertemuan itu di laman Instagram miliknya baru-baru ini.
Aireen merupakan adik sebapa Mawar tetapi berlainan ibu dan mereka tidak pernah bertemu sejak kecil.
“Arwah bapa ada tiga isteri, ibu saya nombor dua. Saya tidak pernah jumpa adik-beradik dari isteri nombor tiga. Mungkin pernah jumpa tapi lupa sebab masa itu sangat kecil ketika saya umur lima tahun.
“Saya sangat suka ada adik angkat dan sentiasa mahukan adik perempuan. Alhamdulillah dapat betul-betul jumpa adik kandung. Dia sangat cantik, baik dan positif,” ujarnya. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/07/P18-A_08072023.jpg)