Saturday, September 21, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mayon cetus amaran, penduduk diarah pindah

    MANILA, FILIPINA, 8 JUN – Pegawai Filipina hari ini menaikkan tahap amaran bagi salah satu gunung berapi paling aktif di negara itu selepas jaluran gas, serpihan dan batu yang terlalu panas mengalir ke cerun atas dalam keadaan yang mereka khuatiri boleh menyebabkan letusan berbahaya dalam beberapa hari atau minggu ini.

    Penduduk kampung yang tinggal dalam radius 6 kilometer (km) dari kawah gunung Mayon telah dimaklumkan untuk meninggalkan zon bahaya kekal yang telah lama ditetapkan dan berpindah ke kawasan yang lebih selamat kerana bahaya letusan gunung berapi, aliran lahar, batu jatuh dan bahaya lain, kata pegawai.

    Pegawai Keselamatan Awam Wilayah, Cedric Daep berkata penduduk kampung sedang bersiap sedia untuk berpindah dari zon bahaya, yang sepatutnya dilarang kepada penduduk tetap tetapi kebanyakan keluarga miskin telah membina rumah di bawah bayang Mayon selama ini.

    “Pihak berkuasa penerbangan awam juga perlu menasihatkan juruterbang supaya mengelak terbang menghampiri puncak gunung berapi kerana abu daripada sebarang letusan mengejut boleh membahayakan pesawat,” kata Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.

    Menjadi tarikan pelancong di timur laut wilayah Albay kerana bentuk kon yang indah, Mayon adalah salah satu daripada puluhan gunung berapi aktif di seluruh Filipina.

    Gunung berapi Mayon memuntahkan asap putih yang dapat dilihat dari Camalig, Filipina pada 8 Jun. – AFP

    Kali terakhir ia meletus pada 2018, menyebabkan puluhan ribu penduduk kampung kehilangan tempat tinggal.

    Pakar gunung berapi berkata mereka menaikkan tahap amaran di sekitar Mayon kepada satu pertiga daripada sistem amaran lima langkah selepas mengesan peningkatan jumlah runtuhan batu dan dua gempa bumi gunung berapi dalam kebelakangan ini.

    Tiga letusan gas dan abu hari ini mengalir ke selokan tenggara gunung berapi kira-kira 1km dari kawah.

    “Ini bermakna Mayon menunjukkan letusan magmatik kubah puncak lahar dengan peningkatan aliran lahar dan potensi aktiviti letupan dalam beberapa minggu bahkan beberapa hari,” kata institut gunung berapi kerajaan. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda