Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mbappe umum keluar dari PSG pada hujung musim

    PARIS, 18 FEB – Kylian Mbappe turun dari bangku simpanan dan menjaringkan gol penalti ketika Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Nantes 2-0 semalam selepas kapten Perancis itu memaklumkan kelab minggu ini, dia merancang untuk meninggalkan kelab pada penghujung musim.

    Rembatan Lucas Hernandez yang terpesong pada minit ke-60 memecahkan kebuntuan di Stade de la Beaujoire sebelum Mbappe memastikan kemenangan selepas dia dikasari di dalam kotak penalti.

    PSG melebarkan pendahuluan mereka di puncak Ligue 1 kepada 14 mata dengan kejuaraan ke-12 yang menambah rekod kini sudah menjadi formaliti selepas Nice mengalami kekalahan kelima dalam sembilan perlawanan pada Jumaat lalu.

    Perkara utama di Paris ialah masa depan Mbappe, yang nampaknya memasuki bulan-bulan terakhir dalam tempoh tujuh tahun bersama juara Perancis itu.

    Pemain berusia 25 tahun itu telah memberitahu pegawai kelab bahawa dia bercadang untuk berpindah secara percuma apabila kontraknya tamat dan dikhabarkan secara meluas akan berpindah ke Real Madrid.

    Difahamkan pemergian Mbappe akan diumumkan secara rasmi dalam masa beberapa bulan akan datang.

    PSG bertungkus-lumus selama sejam tanpa penjaring terbanyak liga ketika Mbappe, yang menjaringkan gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Real Sociedad dalam Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu, bermula di bangku simpanan di Nantes.

    Pasukan tuan rumah mempunyai peluang lebih jelas pada separuh masa pertama, usaha Mostafa Mohamed dihalang oleh kaki Gianluigi Donnarumma dan Nicolas Cozza digagalkan oleh Marquinhos. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda