Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 19 JULAI – Bagi sama-sama memartabatkan keindahan seni muzik warisan gambus dalam kalangan masyarakat di negara ini, 7 Rumpun Keluarga Nayan (7RKN) dari Kampung Lamunin telah menganjurkan Irama Gambus Warisan, malam kelmarin.
Ia merupakan pengisian acara pentas perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 Tahun 2023 bagi Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada acara pentas perayaan yang berlangsung di kawasan lapang berhadapan Hospital Duli Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Petikan gambus oleh ahli 7RKN itu menampilkan lebih 20 persembahan yang terdiri daripada pelbagai jenis genre lagu antaranya irama Zapin Melayu, Dangdut, dan sebagainya.
Turut menyerikan acara berkenaan ialah persembahan menambang syair dan kuiz keputeraan.
Acara sedemikian diharap dapat menyatukan masyarakat Melayu secara amnya dengan menghargai nilai-nilai budaya dan warisan orang dulu-dulu, seiring berpegang teguh dan menjaga kemurnian Melayu Islam Beraja.