SAN FRANCISCO, 28 FEB – Meta dilaporkan merancang untuk melancarkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) berdikari, melengkapkan rangkaian platformnya seperti Instagram, Facebook dan WhatsApp, menurut laporan CNBC kelmarin.
Langkah itu merupakan sebahagian daripada persaingan Meta dengan syarikat gergasi lain termasuk Amazon, OpenAI, Google dan Microsoft dalam pembangunan model AI. Sejak melancarkan chatbot AI sendiri pada 2023, Meta telah mengintegrasikan teknologi itu secara beransur-ansur dalam platformnya.
Menurut sumber yang dipetik CNBC, aplikasi AI itu sejajar dengan visi Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, yang mahu menjadikan Meta sebagai pembangun pembantu AI paling banyak digunakan di dunia.
Meta merancang untuk melancarkan aplikasi AI tersebut menjelang pertengahan tahun ini. Selain itu, Meta turut merancang untuk menguji langganan berbayar bagi platform AInya, satu model perniagaan yang sudah diterapkan oleh OpenAI melalui ChatGPT.
Walaupun enggan mengulas mengenai laporan itu, Meta baru-baru ini mengumumkan keuntungan dan hasil yang meningkat bagi tahun 2024, serta merancang peluasan infrastruktur AI yang agresif pada tahun ini. – AFP
