Thursday, May 2, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    M’sia catat RM186.4 juta jualan kraf tahun ini

    KOTA KINABALU, 30 SEPT – Sebanyak RM186.4 juta jualan kraf dicatatkan untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sekali gus mencapai 93.2 peratus sasaran jualan RM200 juta bagi tahun ini.

    Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia `Ainu Sham Ramli berkata inisiatif yang dilaksanakan agensi itu telah memberi impak positif terhadap pencapaian industri kraf negara secara keseluruhannya. 

    “Melihat kepada pencapaian ini, saya yakin sasaran (jualan) ditetapkan sehingga Disember 2022 dapat dicapai,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Kraf Borneo 2022 Sabah di sini hari ini.

    Beliau berkata bilangan komuniti kraf turut meningkat kepada 26,054 orang sehingga Ogos tahun ini, berbanding 25,592 orang tahun lepas.

    Sementara itu, `Ainu Sham berkata seramai 58 orang usahawan kraf terlibat dalam festival yang berlangsung selama 18 hari, bermula 23 Sept lepas di 1Borneo Hypermall di sini.

    “Program kali ketiga dianjurkan Kraftangan Malaysia di negeri ini menyasarkan RM400,000 jualan dan kedatangan 30,000 pengunjung,” katanya.

    Katanya, sebelum ini, festival itu yang diadakan pada 2018 di Lintasan Deasoka dan 2019 (Pusat Beli-Belah Suria Sabah) di sini, menjana nilai jualan sebanyak RM1.12 juta dengan penyertaan 199 orang usahawan kraf dari Sabah dan Sarawak, serta menarik lebih 30,000 pengunjung. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ancaman bom palsu cetus panik di 100 sekolah India

    NEW DELHI, 1 MEI - Ancaman bom palsu telah mencetuskan panik di sekolah di ibu negara India pada pagi tadi dengan ibu bapa bergegas membawa...