Wednesday, October 9, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Muhammad Iqbaal Syakib juara keseluruhan pidato sejarah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Persembahan dan penyampaian pidato daripada Awang Muhammad Iqbaal Syakib bin Haji Suhib berjaya menambat hati panel hakim di mana beliau berjaya muncul sebagai johan bagi Kategori A dan johan keseluruhan Pertandingan Pidato Sejarah Piala Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ke-4, 2024 yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei (PSB), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Dalam pertandingan yang membawa tema, Sejarah Pemangkin Kemajuan Negara, 10 daripada 43 orang peserta berjaya mara ke peringkat akhir setelah melalui peringkat saringan yang diadakan pada 2 Julai, 4 Julai dan 6 Julai yang lalu.

    Dalam peringkat akhir berkenaan, lima orang peserta daripada Kategori A iaitu belia berumur 18 hingga 35 tahun terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam berbangsa Melayu dan bukan Melayu dan lima peserta daripada Kategori B iaitu pelajar Tahun 9, Tahun 10 dan Tahun 11 sekolah-sekolah menengah kerajaan dan swasta di Negara Brunei Darussalam telah mempersembahkan tajuk pidato masing-masing melalui pengundian awal.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang, diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan kepada penaja dan empat panel hakim iaitu Dr Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Dr Siti Badriyah binti Haji Mohd Yusof, Haji Rosli@Ismail bin Haji Ampal dan Dr Mohammed Zefri Ariff bin Mohammed Zain Ariff.

    Bagi Kategori A, naib johan jatuh kepada Dayang Nurkhairah Afiqah binti Metamit, diikuti dengan Awang Muhd Syahir Aqil bin Haji Muhd Saiful Nurrizam, Awang Muhammad Noor Fauzan Azizi bin Haji Mazne dan Awang Muhammad Zainul Hamdi bin Haji Alladin, masing-masing mendapat tempat ketiga, keempat dan kelima.

    Sementara itu, bagi Kategori B, johan ialah Dayangku Nurul Farah binti Pengiran Noor Rumaizi dan naib johan jatuh kepada Awang Mohd Khairul A’fifi bin Awang Abu Hanafiah. Tempat ketiga, keempat dan kelima masing-masing telah dimenangi oleh Awang Muhammad Aam Ramadhani bin Alif Akhari, Awangku Muhd Nur Safwan bin Pengiran Samrulaspwinizam dan Awang.

    Bagi kedua-dua kategori, kesemua pemenang telah menerima wang tunai sebanyak $1,000 bagi juara, $700 (naib juara), $500 (tempat ketiga), $200 (tempat keempat dan kelima), piala iringan, sijil penyertaan dan hadiah-hadiah tajaan.

    Dalam pada itu, Awang Muhammad Iqbaal Syakib dengan pidatonya yang bertajuk, Menanai Kedaulatan Negara Melalui Penghayatan Sejarah telah membawa pulang Piala Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam pertandingan yang dianjurkan oleh PSB berkenaan.

    Dalam pertandingan itu, para peserta menyampaikan pandangan dan ulasan yang bernas hasil penyelidikan dan kajian sejarah mengenai suatu peristiwa bersejarah di Negara Brunei Darussalam.

    Pandangan dan ulasan berkenaan disampaikan kepada khalayak ramai melalui penghujahan yang kreatif khususnya dalam menghubungkan masyarakat umum dengan sejarah bangsa dan negara.

    Pengetahuan, pembelajaran dan penghayatan mengenai sejarah negara akan dapat memberikan kesedaran kepada generasi belia mengenai nilai sejarah bagi kesejahteraan dan pembangunan negara dan seterusnya memupuk, menanam dan mengukuhkan lagi perasaan taat setia serta cintakan raja, agama, bangsa dan negara.

     

    Pengiran Haji Mohd Hasnan hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pengiran Haji Mohd Hasnan menyampaikan Piala Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada Muhammad Iqbaal Syakib.
    Tetamu kehormat bergambar ramai dengan para pemenang.
    Pengiran Haji Mohd Hasnan menyampaikan hadiah kepada Dayangku Nurul Farah.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda