JAKARTA, 17 JULAI – Agensi Pencegahan Keganasan Kebangsaan Indonesia (BNPT) telah membuka Muzium Anti-Keganasan Adhi Pradana di Bogor, Jawa Barat bertujuan mendidik generasi muda dan mempromosikan toleransi serta anti-keganasan dalam kalangan belia.
Terletak di Kompleks BNPT di Bogor, muzium bertemakan kontemporari itu memaparkan peristiwa keganasan sejak 1948 dan dilancarkan oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Hadi Tjahjanto bersempena ulang tahun ke-14 agensi itu, kelmarin.
“Muzium ini melambangkan komitmen kami untuk memerangi keganasan dan membina Indonesia yang lebih selamat,” kata Hadi dalam ucapan pelancarannya.
Ketua BNPT, Mohammed Rycko Amelza Dahniel dalam satu kenyataan berkata muzium tersebut berfungsi sebagai tarikan pelancongan berasaskan pendidikan serta tempat rekreasi untuk pelajar, ahli akademik dan penyelidik.
“Kami berharap muzium ini akan memberi manfaat kepada wanita, kanak-kanak dan remaja dengan memupuk penghayatan terhadap nilai-nilai toleransi dalam pembinaan negara bangsa,” katanya.
Turut dilancarkan pada acara itu adalah Persatuan Anti-Keganasan Indonesia (PATI), terdiri daripada tokoh-tokoh terkenal dan ahli akademik yang menyumbang kepada memerangi keganasan termasuk mitigasi, teknologi dan menangani ancaman kontemporari. – Bernama