Thursday, May 2, 2024
24 C
Brunei

    -

    Negarawan hebat Shinzo Abe dalam kenangan

    Oleh Nabilah Saleh

    KUALA LUMPUR, 26 OKT – Cuaca musim panas di Jepun tahun ini dilaporkan lebih panas daripada biasa dan keadaan bertambah panas dengan berlangsungnya kempen untuk pemilihan kerusi Dewan Kaunselor atau Dewan Pertuanan.

    Namun apa yang berlaku pada suatu hari musim panas tahun 2022, menjadikan “bahang musim panas begitu perit” dan memeranjatkan seluruh dunia.

    “Pada 8 Julai 2022, matahari pertengahan musim panas terbit seperti biasa tetapi ditakdirkan panas tidak sampai ke petang dan sang suria akan terbenam pada waktu tengah hari.”

    Begitu kata-kata pembuka bicara bekas Duta Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa, di permulaan wawancara eksklusif dengan Bernama, kata-kata yang membuatkan meremang bulu roma penulis.

    Tarikh 8 Julai yang disebut Miyagawa merujuk kepada hari kematian bekas perdana menteri Jepun, Shinzo Abe.

    Gambar fail menunjukkan Shinzo Abe menghadiri sidang akhbar di Tokyo, Jepun, 22 Julai 2019. – Xinhua
    Seorang lelaki menunjukkan edisi tambahan akhbar Yomiuri Shimbun yang melaporkan tentang penembakan Shinzo Abe, di jalan di Tokyo, Jepun, 8 Julai 2022. – Xinhua

    Hari malang buat Abe apabila beliau ditembak dua kali ketika menyampaikan ucapan untuk kempen pilihan raya bagi parti pemerintah, Parti Demokratik Liberal (LDP) di bandar Nara (di barat Jepun), dua hari sebelum pemilihan ahli Dewan Perwakilan pada 10 Julai.

    Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 67 tahun.

    Upacara pengebumian negara Abe yang telah dihadiri ramai pemimpin dunia, yang berlangsung pada 27 September sekitar pukul 1 tengah hari waktu Malaysia.

    Tujuan wawancara adalah untuk penulis mendapatkan pandangan serta pengalaman peribadi Miyagawa mengenai tokoh tersohor Shinzo Abe yang “pemergiannya dianggap sebagai satu kehilangan besar” di tengah-tengah pergolakan politik serta perkembangan ekonomi Jepun.

    Kematian Abe bukan sahaja mengejutkan rakyat Jepun tetapi juga seluruh dunia dan sehingga hari ini, peristiwa malang pembunuhan Abe seakan terasa baharu berlaku.

    Miyagawa, yang berkhidmat sebagai duta besar Jepun ke Malaysia sewaktu Abe menjadi perdana menteri negara matahari terbit itu untuk penggal kedua (dari perhujung tahun 2012 hingga September 2020), berkongsi kisah pengalamannya dengan Abe serta pandangan peribadi beliau terhadap negarawan unggul Jepun itu.

    ‘Abe & Malaysia dalam memori saya’

    Abe yang menyandang jawatan perdana menteri Jepun paling lama, melakukan kunjungan khas ke Malaysia pada bulan Mac 2022 sempena ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur Malaysia (LEP) serta ulang tahun ke-65 hubungan Malaysia-Jepun.

    Masih segar dalam ingatan Miyagawa yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Kementerian Luar Jepun (bertanggungjawab untuk negara-negara Asia Barat) momen keemasan yang dihabiskan dengan Abe, mengadakan perbincangan, bertukar-tukar pandangan, berjam-jam lamanya.

    “Abe tegas dengan pendirian bahawa perlu ada satu titik persamaan antara etika Jepun dalam usaha membina sebuah negara sejak berabad-abad lamanya dengan nilai yang dikongsi bersama komuniti antarabangsa, di sebalik perselisihan faham yang kerap berlaku serta konflik antara mereka.

    “Pendirian ini jelas termaktub dalam dasar luar negara beliau yang menjurus kepada pengukuhan hubungan Jepun dengan negara-negara di Asia Barat,” katanya.

    Menurut Miyagawa, setelah kembali berkuasa pada tahun 2012, Abe melakukan, tidak kurang daripada empat lawatan rasmi ke negara-negara Asia Barat setelah tidak ada sebarang lawatan perdana menteri Jepun ke rantau itu sejak tujuh tahun lamanya.

    “Kesediaan beliau untuk menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Politik Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada bulan Mac tahun ini berdasarkan penghargaan beliau terhadap peranan UIAM di Asia, Asia Barat serta seluruh dunia, dalam menawarkan pengetahuan serta teknologi kepada pelajar di samping peluang pertukaran dalam kalangan beliau dengan kebudayaan yang pelbagai,” kata Miyagawa.

    Bekas diplomat berusia 71 tahun itu turut menyuarakan pandangan bahawa pertalian rapat Abe dengan Malaysia berdasarkan pandangan positif beliau terhadap kejayaan LEP.

    Paling menarik, ia memberi ruang untuk Jepun dinilai semula dalam kalangan negara Asia terutama sekali beberapa tahun awal selepas tamat Perang Dunia Kedua.

    Miyagawa turut berkongsi beberapa fakta yang menunjukkan Abe adalah seorang yang “mengotakan kata-katanya.”

    “Sewaktu sebuah pesawat Penerbangan Malaysia hilang secara misteri pada tahun 2014, Abe dengan pantas menghantar pasukan mencari dan menyelamat Jepun.

    “Di bawah arahan beliau, dalam tempoh tiga hari sahaja beberapa buah pesawat dari Pasukan Pertahanan Diri serta Pengawal Pantai tiba di Kuala Lumpur.

    Beberapa buah kapal Jepun berhampiran kawasan Taiwan sudah pun belayar ke Malaysia, ” katanya.

    Menurut beliau, tidak ramai juga tahu bahawa kesediaan serta keazaman Abe jugalah yang memberi kelulusan, pertama kali dalam sejarah pendidikan Jepun sejak Zaman Pemulihan Meiji, untuk pembukaan kampus cawangan sebuah universiti Jepun di luar negara.

    Malaysia akan menjadi negara pertama yang dipilih untuk mempunyai cawangan universiti Jepun berkenaan.

    Difahamkan pembukaan kampus cawangan ini adalah hasil perbincangan pada penghujung tahun 2018 ekoran permintaan dairpada perdana menteri Malaysia ketika itu, Tun Mahathir Mohamad dan disokong oleh Abe. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Ancaman bom palsu cetus panik di 100 sekolah India

    NEW DELHI, 1 MEI - Ancaman bom palsu telah mencetuskan panik di sekolah di ibu negara India pada pagi tadi dengan ibu bapa bergegas membawa...