Thursday, January 9, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Newcastle ketepikan Arsenal menuju final Piala Liga

    LONDON, 8 JAN – Newcastle mengorak langkah yang besar ke final Piala Liga apabila memperoleh pendahuluan 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama kelmarin.

    The Magpies tidak pernah memenangi pertandingan itu sebelum ini dan terpaksa menunggu sejak 1969 untuk meraikan sebarang trofi utama.

    Tetapi mereka kini mempunyai penyerang terbaik, Alexander Isak yang meledak gol pembuka dan kemudian membantu Anthony Gordon menjaringkan gol kedua pasukan.

    Arsenal mempunyai cabaran besar apabila bertemu Newcastle lagi untuk perlawanan kedua 5 Februari nanti jika mereka mahu mara untuk bertemu sama ada Tottenham atau Liverpool pada perlawanan akhir.

    “Ia satu keputusan yang hebat tetapi ia baharu separuh,” kata Isak selepas kemenangan ketujuh Newcastle berturut-turut dan pertama di Emirates sejak 2010.

    “Jika kita tidak berjaya (ke final) maka ini tidak ada makna.”

    Kedua-dua kelab benar-benar mahukan piala berkenaan apabila Mikel Arteta dan Eddie Howe menampilkan pasukan terkuat mereka.

    Arteta telah membawa Arsenal kembali bersaing untuk kejuaraan Liga Perdana pada musim-musim kebelakangan ini, tetapi satu-satunya trofi jadi milik The Gunners datang lima tahun lalu ketika menjulang Piala FA pada bulan-bulan awal pemerintahannya.

    Pasukan tuan rumah dapat menyambut kembali Kai Havertz, Martin Odegaard dan Gabriel Martinelli tetapi kekurangan penyerang berbahaya seperti Isak membuktikan perbezaan antara kedua-dua belah pihak.

    Arsenal mempunyai majoriti penguasaan bola dan peluang tetapi gagal menghasilkan jaringan.

    “Itulah perbezaan terbesar dalam permainan. Dalam setiap aspek lain, kami adalah pasukan yang lebih baik,” kata Arteta mengenai peluang yang disia-siakan pasukannya.

    Percubaan Martinelli terkena tiang setelah membuat larian dari tengah padang sejurus menerima hantaran daripada Leandro Trossard.

    Gol ke-14 Isak muncul apabila bola daripada sepakan percuma yang panjang jatuh ke dalam kotak penalti dan di kaki Isak yang seterusnya merembat masuk ke bahagian bawah palang.

    Isak turut membantu gol kedua apabila rembatan kencangnya ditepis oleh David Raya dan jatuh ke laluan Gordon yang meluru untuk melepaskan rembatan.

    Havertz pula kemudiannya tersasar tandukannya luas ke sebelah kiri tiang ketika gol ternganga luas.

    Arsenal, bagaimanapun, tidak berdaya membalas tanpa Bukayo Saka yang tercedera sekali gus melanjutkan penantian revolusi Arteta untuk memburu trofi. – AFP

    Aksi Alexander Isak menjaringkan gol pembukaan menentang Arsenal dalam perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala Liga di stadium Emirates, London kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda