TOKYO, 20 OGOS – Syarikat permainan video terkemuka Jepun, Nintendo, hari ini mengumumkan mereka akan membuka muzium pertama yang dinantikan ramai pada 2 Oktober ini.
Muzium itu bakal menampilkan koleksi permainan video klasik serta pameran interaktif yang menonjolkan watak ikonik Super Mario.
Dibangunankan di bandar Uji, Kyoto, muzium itu terletak di dalam bangunan kilang lama yang telah diubah suai. Kilang itu, yang dibina pada tahun 1969, merupakan tempat asal Nintendo memulakan operasi sebagai pengeluar kad permainan sebelum beralih kepada industri permainan video.
Dalam video yang dikeluarkan hari ini, Shigeru Miyamoto, pencipta terkenal Super Mario Bros, memberikan gambaran ringkas mengenai pameran muzium itu. Dia berkata Muzium Nintendo akan menjadi tempat untuk pengunjung memahami komitmen syarikat dalam menghasilkan produk yang mengutamakan keseronokan dan keaslian.
Pameran di muzium itu akan merangkumi permainan menembak interaktif, koleksi konsol permainan terawal syarikat, serta pameran alat kawalan bersaiz besar yang memerlukan dua orang untuk mengoperasikannya.
Selain itu, muzium itu juga akan mempamerkan puisi Jepun kuno sebagai sebahagian daripada usaha menggabungkan elemen budaya tradisional.
Pengumuman mengenai muzium itu pertama kali dibuat pada 2021 sebagai sebahagian daripada strategi Nintendo untuk memperluas sumber pendapatan mereka.
Muzium tersebut dijangka menarik minat pengunjung dari seluruh dunia yang berminat dengan sejarah dan perkembangan industri permainan video.
Selain itu, taman tema pertama Nintendo, Super Nintendo World, telah dibuka pada Mac 2021 di Universal Studios Japan, Osaka, selepas beberapa kali ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Taman tema itu menampilkan pelbagai tarikan termasuk permainan Mario Kart dengan Kastil Bowser dalam bentuk yang nyata. – AFP