LAS VEGAS, 7 JAN – Ketua Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, membuat penampilan yang memukau ribuan hadirin dalam sebuah arena penuh sesak lewat kelmarin, mempromosikan cip kecerdasan buatan (AI) dan perisian untuk robot, kenderaan, permainan video serta pelbagai aplikasi lain.
Selepas bertahun-tahun terpinggir daripada acara tahunan Consumer Electronics Show (CES) di Las Vegas, perbincangan mengenai cip komputer menjadi tumpuan utama. Orang ramai beratur selama berjam-jam untuk mendengar Huang membincangkan teknologi AI dalam sesi eksklusifnya.
“Apabila awda melihat pelbagai aplikasi yang didorong oleh AI, kuncinya adalah pembelajaran mesin yang telah mengubah cara pengkomputeran dilakukan,” kata Huang dalam pembentangan eksklusifnya.
“Terdapat banyak perkara yang tidak dapat dilakukan tanpa AI,” tambahnya.
Ucapan utama Huang itu disampaikan sehari sebelum pembukaan rasmi lantai pameran CES. Pada hari yang sama, saham Nvidia mencatat rekod baharu, dengan nilai pasaran syarikat itu melebihi AS$3.6 trilion.
Unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia, yang digunakan untuk menggerakkan AI di pusat data, kini menjadi rebutan syarikat teknologi terkemuka seperti Google, Microsoft, Meta, OpenAI dan lain-lain yang berlumba-lumba untuk menerajui pembangunan teknologi tersebut. – AFP