TUMPAT – Nyiru badang atau disebut ‘bade’ dalam loghat tempatan tetap meraih permintaan tinggi meskipun dalam musim tengkujuh ini.
Malah, pengusaha produk kraf tangan buluh itu Hazlina Awang Hamat, 55, dari Kampung Anal, berkata beliau tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.
“Proses pembuatan nyiru badang ini berkait rapat dengan keadaan cuaca panas bagi mengelak ia berkulat, namun pada musim bah atau banjir, kita akan rebus selama setengah jam dengan soda bagi mengelak jangkitan kulat,” katanya kepada Bernama.
Ibu kepada empat orang anak itu menghasilkan pelbagai produk anyaman termasuk badang bulat dan tudung saji selama lebih 40 tahun.
Menurut Hazlina, nyiru badang atau turut dipanggil tampi itu mendapat permintaan tinggi khususnya daripada pengusaha kedai makan nasi ulam yang menghidangkan nasi dan lauk-pauk dalam satu nyiru.
Beliau berkata nyiru badang berbentuk bujur atau bulat dan mempunyai anyaman berjenis rapat atau jarang, serta dihasilkan dalam pelbagai saiz mengikut kegunaan.
“Zaman dahulu nyiru badang ini digunakan petani untuk menampi atau mengangin padi iaitu proses mengasingkan padi daripada hampa beras, ada juga yang menjemur ikan kering, kerepek ubi dan pisang, namun pada masa ini ramai yang membelinya untuk dijadikan hiasan dinding rumah,” katanya.
Menjadikan kerja menganyam buluh itu sebagai mata pencarian, Hazlina berkata hasil tangannya itu turut meraih permintaan tinggi dari luar negara seperti Singapura dan Brunei.
“Nyiru badang ini dijual dengan harga RM4 sebiji dan saya mampu membuatnya 10 biji sehari bermula daripada menebang buluh hingga mengikat anyaman,”
katanya yang menguasai kemahiran menganyam selepas sering membantu arwah ibunya.
Menceritakan proses pembuatan nyiru itu, Hazlina berkata ia bermula dengan beliau menebang sendiri buluh jenis dinding dan kelopak hitam yang boleh didapati di sekitar kampung berdekatan.
“Setelah itu, jika hari panas, kita akan jemur buluh itu, manakala pada musim banjir, kita akan rebus (dalam soda),” katanya.
Beliau berkata selepas itu buluh berkenaan akan direndam semalaman dan disidai bagi proses pengeringan.
“Seterusnya buluh tersebut dipotong mengikut saiz sama ada untuk nyiru badang atau (tudung) saji, kemudian kena ‘bauh’ iaitu nipiskan buluh menjadi helaian menggunakan pisau khas atau pisau raut,” katanya.
Apabila helaian buluh atau dipanggil bilah terbentuk, katanya ia boleh dianyam hanya dalam 10 minit untuk membentuk badang nyiru manakala proses mengikat keliling nyiru pula mengambil masa setengah jam.
Hazlina berharap lebih ramai anggota masyarakat khususnya generasi muda menghargai produk kraf tempatan seperti nyiru badang yang berciri mesra alam iaitu boleh biodegradasi, berbanding penggunaan perkakas plastik. – Bernama