KUALA LUMPUR, 3 FEB – Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dijangka mampu menambah bekalan minyak mentah purata 5.8 juta tong sehari (bpd) sekiranya berlaku penurunan ketara bekalan minyak dari Kanada dan Mexico, menurut Rystad Energy.
Dalam satu nota penyelidikan hari ini, firma perunding tenaga itu berkata anggaran itu adalah berdasarkan tahap purata penggunaan sebelum ini.
Ia berkata tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang akan mengenakan tarif kepada negara rakan dagangnya akan memberi kesan terhadap pengeluaran minyak dan ekonomi logistik bagi kedua-dua negara tersebut.
Trump baru-baru ini mengumumkan akan melaksanakan tarif ke atas tiga rakan dagangan terbesarnya iaitu Kanada dan Mexico sebanyak 25 peratus, manakala 10 peratus kepada China, yang dijangka akan memberi kesan global yang meluas, katanya.
Bagaimanapun, menurut Rystad Energy, tarif 25 peratus ke atas minyak Kanada itu telah ditetapkan kepada 10 peratus, menyebabkan negara itu bertindak mengenakan tarif 25 peratus ke atas import AS bernilai AS$105 bilion.
Sementara itu, Mexico dan China masih dalam proses merangka tindak balas ekoran dianggarkan bahawa sekatan itu akan mengancam 15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Mexico dan Kanada.
Pengeluaran minyak mentah Mexico yang kini menyusut pula dijangka merosot lagi akibat tarif ke atas 0.5 juta bpd eksport ke AS, kata firma perunding itu. – Bernama