Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Pelbagai kesalahan telah dicatatkan dalam operasi sepadu sekatan jalan raya yang dijalankan pada 25 Julai lalu melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan yang diterajui oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang menumpukan di kawasan lebuh raya Jalan Lumut Bypass hala Tutong dan hala ke Seria.
Antara agensi yang terlibat adalah Ibu Pejabat Daerah Polis Belait, Balai Polis Sungai Liang, Balai Polis Labi, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) Batu 3 dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, menerusi operasi tersebut, pihak polis telah mengeluarkan kompaun terhadap tiga orang pemandu bagi kesalahan tidak mempunyai lesen memandu yang sah dan memakai pelekat plastik filem atau tabir.
Manakala dua lagi kesalahan melibatkan pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) iaitu di bawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006.
Kenyataan menyatakan, PPDB bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain akan sentiasa menguatkuasakan undang-undang dalam memberi kesedaran serta mendidik orang ramai akan kepentingan etika pemanduan yang berhemah serta menanai perundangan yang perlu dipatuhi dan ikuti dalam sasaran untuk mengurangkan kadar kesalahan-kesalahan lalu lintas di negara ini.
