PUTRAJAYA, 27 APRIL – Tiga puluh rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan dari
Khartoum, ibu negara Sudan, negara yang dilanda konflik, dijangka tiba di tanah air esok,
kata Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Mereka terdiri daripada pegawai Wisma Putra, pekerja Petronas dan pelajar, kata beliau pada sidang media Ops Sudan di sini hari ini.
Beliau berkata mereka adalah antara 194 rakyat pelbagai negara yang selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Raja Faisal pada kira-kira 1:54 pagi waktu Malaysia hari ini, dengan menaiki kapal tentera laut Arab Saudi HMS Abha setelah menempuh perjalanan kira-kira sembilan jam dari Pelabuhan Sudan.
Zambry berkata kesemua rakyat Malaysia itu akan menaiki penerbangan Saudi Arabian Airlines SV834 dari Jeddah dan dijadualkan tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3:55 petang esok. – Bernama
