Monday, January 20, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Para pelajar perlu istiqamah, rajin untuk capai kejayaan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Menjadi seorang hafiz atau hafizah merupakan anugerah istimewa daripada Allah SWT, namun ia juga adalah amanah besar yang perlu dijaga dan dimartabatkan.

    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, menegaskan perkara itu ketika berucap pada Majlis Penerimaan Pelajar Baharu Peringkat Menengah Tahun 7, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di Dewan Kuliah institut berkenaan, kelmarin.

    “Para pelajar kamu adalah anak-anak terpilih untuk memikul, menjaga dan memartabatkan Al-Quran. Oleh itu, istiqamah dan rajin adalah kunci segala kejayaan,” katanya.

    Beliau turut menjelaskan bahawa pengambilan pelajar baharu kali ini terdiri daripada mereka yang memiliki rekod cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR), dengan harapan institut itu terus memperkasa bidang akademik mereka.

    “Kami ingin melihat lepasan pelajar ugama dan hafazan Al-Quran menjadi kompeten, relevan dengan keperluan pasaran, serta memberi nilai tambah melalui kepakaran dan amalan nilai-nilai ugama. Ini akan mempromosikan kelebihan lepasan institut ini di peringkat negara,” tambah beliau.

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim semasa menyampaikan ucapan pada majlis tersebut di Dewan Kuliah ITQSHHB di ibu negara. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD

    Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim turut berkongsi bahawa institut berkenaan sedang melaksanakan tadabbur Al-Quran secara berperingkat sebagai tambahan dalam kurikulum mata pelajaran hafazan.

    “Kita dianjurkan untuk mentadabbur ayat-ayat Al-Quran, iaitu merenungi maknanya, memahami mesejnya, dan mengaplikasikan ajarannya dalam kehidupan,” jelas beliau.

    Menurut beliau, pencapaian strategik institut itu pada 2024 menunjukkan seramai 95 peratus pelajar pengajian Tahun 11 berjaya khatam hafaz 30 juzuk Al-Quran, melibatkan 74 pelajar (30 lelaki dan 44 perempuan).

    Beliau percaya pihak pengurusan institut akan terus meningkatkan keupayaan secara holistik untuk memberikan manfaat kepada pelajar dan institusi, di samping berpesan kepada pelajar baharu agar tidak ragu memilih pendidikan hafazan Al-Quran.

    “Buanglah kebimbangan, rasai dan nikmati kehebatan Kalamullah. Ulangi hafazan, jangan bosan, dan insya-Allah, Allah SWT akan melapangkan jalan serta mengurniakan lebih daripada apa yang dihajati,” katanya.

    Beliau menegaskan, “Menjadi penjaga Al-Quran bukan sekadar menghafaz, tetapi juga mengamalkan isi kandungannya dalam kehidupan seharian.”

    Akhir sekali, beliau mengingatkan pelajar untuk terus mengasah potensi diri, memperkasa bidang akademik, serta mendalami ilmu Al-Quran dan pengetahuan lain yang akan memberi manfaat kepada masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda