Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Pasukan lelaki dari Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong dan pasukan perempuan dari Balai Ibadat Mukim Saba muncul sebagai johan dalam Pertandingan Dikir Dibaie Senegara yang berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.
Manakala itu, tempatan kedua kategori lelaki dimenangi oleh pasukan Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rizal dan pasukan Masjid Utama Mohammad Salleh di tempat ketiga.
Bagi kategori perempuan, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh pasukan dari Masjid Kampung Batu Apoi dan Masjid Utama Mohammad Salleh.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Pertandingan melibatkan peserta dari keempat-empat daerah itu pertama kali dianjurkan oleh belia dan beliawanis masjid Daerah Temburong dengan harapan agar ia dapat mengembangkan seni dikir dibaie dan mengeratkan silaturahim antara keempat-empat daerah.
Dianjurkan dengan kerjasama Bahagian Imarah; Jabatan Hal Ehwal Masjid; serta jawatankuasa takmir dan jemaah Masjid Utama Mohammad Salleh, pertandingan itu berobjektif untuk mencungkil bakat berkumpulan dalam menyampaikan makna alunan qasidah dikir dibaie di samping menjadi pemangkin semangat dalam meneruskan dan memperkembang luas seni irama dakwah Islamiah yang menarik dan indah.
Ia juga merupakan satu alternatif mendekatkan para belia untuk berzikir, berselawat dan berdoa dalam irama dikir dibaie, serta untuk merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Brunei sebagai sebuah Negara Zikir.