Oleh Salawati Haji Yahya & Daniel Lim
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Statistik menunjukkan bahawa sejumlah pelanggan stesen minyak di negara ini masih lagi tidak mematuhi arahan yang tertera di papan tanda dan ada juga pelanggan yang kurang berwaspada semasa pengisian minyak.
Pengarah Urusan Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM), Awang Mohammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil menekankan, beberapa insiden muncung pam tercabut telah berlaku pada tahun ini yang mendapati pelanggan tersebut tidak mematuhi amalan keselamatan yang dikongsikan terutama berkenaan pembayaran sebelum selesai pengisian minyak.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan, terutama bagi atendan pam khasnya dan pekerja stesen minyak untuk sentiasa memberi perhatian dalam pekerjaan bagi keselamatan bersama semasa pengisian minyak.
Manakala itu, pelanggan pula disarankan untuk sentiasa memberi perhatian dan mengikut arahan yang diberikan oleh atendan pam yang bertugas pada ketika itu.
Beliau menekankan perkara berkenaan semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Jerayawara Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat di Stesen Hajah Dayang Badariah dan Anak-anak, Kampung Mata-Mata Gadong, hari ini.



Hadir merasmikan kempen di stesen berkenaan ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw yang seterusnya menyampaikan risalah kempen kepada orang ramai dan pelanggan stesen berkenaan.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik) di Kementerian Tenaga, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.
Di Daerah Belait, kempen tersebut berlangsung di Stesen Minyak Roxana yang menyaksikan kehadiran ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pemangku Penghulu Mukim Labi 1, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput sebagai tetamu kehormat majlis; Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria, Haji Saidin bin Haji Ibrahim; Pengurus Stesen Minyak Roxana, Dayang Atika binti Haji Mahadi dan Pengurus Pembekal dan Pengedar BSM, Haji Hairul Razdi bin Shahri.
Di Daerah Tutong, kempen di Stesen Pengisian Minyak PHA Bakar telah dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Pegawai Daerah Tutong, Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya dan kempen di Stesen Negalang, Temburong dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Pegawai Daerah Temburong, Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili.
Antara objektif utama kempen berkenaan adalah untuk mewujudkan budaya supaya semua pelanggan dan orang ramai menyedari akan peraturan semasa di stesen minyak.
BSM juga menggalakkan laporan pelanggan serta orang ramai sekiranya terlihat pelanggaran peraturan di stesen minyak melalui inisiatif ‘Bagitau Saja BSM’ untuk melaporkan terus ke talian hotline 224739.
Dengan usaha sama Kementerian Tenaga, jabatan daerah dan pihak stesen minyak di keempat-empat daerah, wakil stesen minyak dan pengurusan serta kakitangan BSM dapat menjayakan kempen berkenaan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai secara peribadi.
Inisiatif berkenaan akan dilanjutkan ke stesen minyak yang lain hingga akhir tahun ini untuk menyebarkan mesej keselamatan berkenaan dan diharap akan memberi kefahaman mengenai cabaran yang dihadapi oleh semua pihak.
Jerayawara itu diteruskan dengan pengeluaran poster fasa ketiga kempen dan penyiaran melalui media sosial dan radio bermula hari ini.
Kempen berkenaan adalah yang ketiga setelah yang pertama dilancarkan pada Jun 2015 dan kali kedua pada Oktober 2019.