Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Pelik, seperti ada hantu’

    SAN FRANCISCO – Pada musim panas di California, orang yang lalu-lalang di jalan-jalan San Francisco boleh dibahagikan kepada dua kelompok: warga setempat yang acuh tak acuh yang sudah terbiasa dengan perarakan kereta bergerak tanpa pemandu dan para pelancong yang sangat kagum sehingga mereka bergegas mencapai telefon bimbit untuk merakam visi masa depan yang telah lama dijanjikan.

    Katherine Allen menaiki sebuah Jaguar putih, yang kemudian dengan berhati-hati meluru laju keluar ke jalan raya yang ramai dengan pejalan kaki menyeberang dan penunggang motor.

    Peguam berusia 37 tahun itu secara sukarela menguji teksi robot Waymo sejak penghujung 2021.

    Pada mulanya, selalu ada pekerja anak syarikat Alphabet (syarikat induk Google) di dalam kenderaan untuk mengambil alih pemanduan jika perlu.

    Kemudian suatu malam, kereta tersebut datang kepada seseorang tanpa ada pemberitahuan dan pembantu di dalamnya.

    Penduduk San Francisco mula menggunakan kenderaan komersial tanpa pemandu untuk bersiar-siar. – Gambar AFP
    Gambar AFP
    Gambar AFP

    “Saya sangat gementar saat pertama kali, tapi tidak terlalu gementar sehingga saya tidak ingin mencubanya. Saya juga merasa teruja dalam masa yang sama,” katanya.

    “Selama dua pertiga perjalanan pertama, mungkin 20 minit atau lebih, saya sangat gementar dan tiba-tiba saja semuanya terasa seperti biasa. Itu sangat pelik kerana ia tidak normal!.

    Kendaraan di San Francisco dioperasikan oleh Waymo dan Cruise yang dimiliki oleh General Motors dan pada musim panas kedua operator tersebut mendapat keizinan untuk beroperasi sepanjang waktu di seluruh bandar kecuali di lebuh raya.

    Ini menjadikan San Francisco sebagai bandar utama yang memiliki dua armada kenderaan tanpa pemandu yang beroperasi sepenuhnya yang diharapkan syarikat akan memacu perkembangan mereka di tempat lain seluruh Amerika Syarikat.

    Pada malam Selasa, dengan ditemani oleh AFP, Isaac, penduduk San Francisco yang juga seorang ayah, menempah perjalanan pertamanya menggunakan aplikasi Cruise.

    Percussion, nama kenderaan itu, tiba dengan pantas. Namun, perjalanan seharusnya mengambil jalan yang pantas untuk sampai di sebuah pasar raya dalam waktu kurang dari lima minit sahaja.

    Sebaliknya mengambil jalan yang lebih panjang dan alasannya tidak dapat dijelaskan.

    “Bagi saya pelik bahawa stereng pun berpusing sendirinya seperti ada hantu,” Isaac memerhatikan apabila kereta itu berundur untuk memulakan perjalanan.

    “Saya sungguh kagum. Ini cukup baik ketika menekan brek. Tidak terlalu ekstrem dalam menghentikan kenderaan,” kata Isaac.

    Isaac mengalihkan perhatiannya pada kuiz dalam skrin layar di depannya.

    Tetapi dia tidak setuju dengan jawapan tentang burrito terbaik di San Francisco.

    “Robot adalah pemandu yang baik tetapi saya tidak yakin robot memiliki cita rasa yang baik dalam hal burrito.”

    Selang 20 minit dan beberapa belas soalan kemudian, Percussion akhirnya tiba di destinasinya, tetapi diletakkan agak jauh dari kedai, mungkin kerana kerja-kerja pembaikan jalan.

    Namun, itu tidak mematahkan semangat Isaac: “Itu luar biasa. Saya akan mencubanya nanti.”

    “Sangat tenang. Tidak ada perbualan. Tidak ada stesen radio pelik yang memainkan muzik secara rawak,” katanya.

    Jika harganya sama dengan Uber “Saya akan memilih menggunakan robot kerana saya jenis antisosial.”

    Penguji Waymo, Katherine Allen, juga peka terhadap aspek sosial.

    “Kelebihan yang dimiliki berbanding dengan pemandu manusia adalah ia sangat berhati-hati, yang sangat menjengkelkan pemandu lain,” katanya.

    Tetapi “tidak akan ada apa-apa kemarahan semasa di jalan raya” dari teksi robot, tambahnya sambil keretanya bergerak perlahan melalui trafik di siang hari.

    Mengambil alih peranannya sebagai penguji, Allen melepaskan butang kecemasan dan kenderaan itu membelok ke tepi dengan selamat.

    Menyambung semula perjalanan menjadi sulit. Pemandu manusia tidak menunjukkan belas kasihan kepada teksi robot yang ingin kembali ke lorong pemanduan.

    Sejauh ini, kebanyakan kemalangan melibatkan kenderaan yang berhenti di tepi jalan.

    Tetapi pihak berkuasa tempatan bagaimanapun telah meminta Cruise untuk mengurangkan separuh armadanya di San Francisco (kepada 50 kereta aktif pada waktu siang dan 150 pada waktu malam), sementara ia menyiasat dua kemalangan yang berlaku minggu lepas, salah satu kemalangan yang melibatkan sebuah trak bomba.

    Meskipun dalam bandar yang gila teknologi ini, robot teksi menjadi perdebatan.

    Aktivis alam sekitar mengkritiknya kerana mempertahankan dominasi kenderaan persendirian, manakala persatuan untuk orang kelainan upaya (OKU) mengatakan kenderaan itu belum cukup menyesuaikan diri dengan keperluan mereka dan kesatuan sekerja takut kehilangan pekerjaan.

    Tetapi ada ramai orang yang melihat teksi robot sebagai sesuatu yang bermanfaat untuk masalah-masalah tersebut.

    Keseronokan itu ada di sana: Waymo mengatakan bahawa mereka memiliki lebih dari 100,000 orang dalam senarai menunggu.

    Allen, yang sampai sekarang telah menikmati perjalanan-perjalanannya secara percuma, perlu membayar pada bulan depan.

    Adakah dia terus menggunakan Waymo atau memilih Uber yang dipandu manusia?

    “Ia bergantung pada harga dan masa… kereta autonomi sentiasa selalu lebih perlahan,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda