Oleh Rokiah Mahmud
Gambar oleh Nurul Hafizah HAB, Shafie Othman & Anafiah Jalani
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Pembukaan semula sempadan darat dan laut yang telah diumumkan pada 1 Ogos 2022 memberi peluang kepada rakyat Brunei dan warganegara lain untuk menyeberang sempadan menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan.
Nurul Hafizah HAB berkongsi bahawa sambutan Hari Raya adalah salah satu masa untuk beliau sekeluarga menziarahi sanak saudara mereka yang menetap di Kuching.
Tambahnya, dengan sekatan perjalanan merentasi sempadan telah ditarik balik, membolehkan mereka melawat nenek mereka, Hajah Ameh binti Abang Haji Salleh. Selain itu, mereka juga berpeluang melawat tanah perkuburan datuk mereka yang meninggal dunia semasa wabak COVID-19.
Bertemu kembali membawa kegembiraan buat mereka dan keluarga di Kuching dan menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam norma baharu.
Tambah beliau, amat menarik bagaimana rasa janggal bertemu keluarga setelah sekian lama dan melihat perubahan terutama sepupu serta anak saudara yang baru ditemui.
Menurutnya lagi, semasa pertemuan itu juga mereka berkongsi cerita untuk melihat apa yang diperoleh atau hilang semasa wabak dan berhubung semula dengan keluarga yang jauh.
Bagi Awang Shafie bin Othman, cuti umum yang panjang semasa Aidilfitri membolehkannya dan keluarga meraikan sambutan yang meriah itu dengan melawat Pak Uda dan Mak Uda beliau di Pujut 3, Miri Sarawak.
“Dengan pembukaan semula sempadan darat dan laut, kami dapat bertemu dan berkumpul semasa Aidilfitri ini.
“Kita boleh memupuk hubungan yang lebih erat dan bertemu dengan mereka yang tidak pernah kita temui sejak bermulanya wabak,” tambahnya.
Bukan warga Brunei sahaja, rakyat Malaysia turut mengambil peluang cuti panjang ini untuk menziarahi sanak saudara mereka yang menetap di Sarawak dan Sabah.
Bagi keluarga Anafiah Jalani yang menetap di Limbang, Sarawak berkongsi bahawa sebelum pembukaan semula sempadan darat dan laut Brunei, mereka perlu menggunakan penerbangan domestik untuk melawat keluarganya yang tinggal di Kapit, Sarawak.
‘’Agak mahal untuk membawa semua ahli keluarga justeru, saya hanya melancong bersama isteri ketika itu, tetapi kini memudahkan kami untuk menyeberangi sempadan Brunei bagi sampai ke destinasi. EES juga agak berpatutan selepas ia disemak.
“Namun, kami masih perlu memastikan keselamatan dan kebersihan seperti yang biasa kami amalkan semasa masa pandemik,” ujarnya.
“Bagi mereka yang kurang sihat, dinasihatkan untuk duduk di rumah, dan melakukan ujian pantas antigen (ART),” nasihatnya lagi.
Pada masa yang sama, mereka yang memandu sama ada pulang ke kampung halaman atau melawat, perlu sentiasa berwaspada dan berhati-hati semasa melakukan perjalanan yang jauh. Jika berasa letih, berehatlah ke kawasan rehat terdekat atau tukar pemandu, berehat secukupnya dan jangan memecut.