Thursday, October 24, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Penebangan hutan Amazon dikaitkan dengan peningkatan kes malaria

    RIO DE JANEIRO, 23 OKT – Satu kajian baharu mendapati penebangan hutan secara besar-besaran di Amazon, Brazil menyumbang kepada peningkatan jangkitan malaria, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) dan Brazil menganalisis data dari 2003 hingga 2022 dan mendapati bahawa hanya satu peratus peningkatan dalam kadar penebangan hutan bulanan menyebabkan peningkatan purata sebanyak 6.3 peratus dalam kes malaria sebulan kemudian.

    Kajian yang diterbitkan pada Isnin dalam jurnal Proceedings of the US National Academy of Sciences (PNAS) itu menunjukkan bahawa kesan penebangan hutan terhadap risiko malaria berbeza mengikut negeri. Bagaimanapun, penemuan keseluruhan menunjukkan kaitan jelas antara penebangan hutan dan lebih banyak kes malaria.

    Pasukan penyelidik menjelaskan bahawa nyamuk Nyssorhynchus darlingi yang menyebarkan malaria di Brazil mendapat manfaat daripada penebangan hutan.

    Selepas pokok ditebang, nyamuk ini menemui habitat pembiakan yang lebih baik. Ia lebih gemar air bersih yang sebahagiannya mendapat cahaya matahari dengan tumbuhan akuatik tetapi bebas daripada bahan organik yang mereput.

    Keadaan sedemikian jarang berlaku di hutan semula jadi di mana cahaya adalah terhad.

    Tetapi selepas pembalakan, nyamuk sering menemukan keadaan pembiakan yang ideal di pinggir kawasan yang ditebang. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda