Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Majlis penyampaian hadiah bagi Peraduan Penulisan Sastera Kreatif dan Bukan Kreatif Dewan Bahasa dan Pustaka 2021/2022 telah diadakan hari ini di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.
Semasa majlis tersebut, Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, peraduan penulisan yang diungkayahkan oleh jabatan ini melalui Bahagian Sastera dan Majalah menjadi salah satu platform yang jitu untuk menarik penulis-penulis muda khasnya dalam menghasilkan karya kreatif dan bukan kreatif yang berkualiti seterusnya mampu diangkat sebagai karya-karya yang terbaik.
DBP akan secara berterusan mengadakan peraduan penulisan seumpama ini bagi menggalakkan lagi penglibatan para generasi muda sekali gus melahirkan penulis-penulis pelapis.
Beliau turut mengongsikan, penubuhan Akademi Penulis Kanak-kanak yang akan dirancang pelaksanaannya pada tahun ini merupakan antara strategi jabatan untuk melahirkan generasi pelapis yang mampu menguasai penulisan dalam pelbagai genre seperti cerpen, novel, sajak dan skrip drama.
“Akademi ini nanti akan menjadi penggerak dan pencetus dalam menggerak majukan industri penulisan di negara ini sementelah akademi ini melibatkan penyertaan generasi muda bermula daripada kalangan kanak-kanak,” jelasnya.
Selain itu, dalam usaha meningkatkan lagi penguasaan penulisan ilmiah sastera, jabatan ini menerusi Bahagian Sastera dan Majalah juga mengambil satu lagi inisiatif, iaitu melaksanakan Bengkel Penulisan Esei Ilmiah Sastera dan Bengkel Kritikan Sastera sebagai kegiatan tahunan.
Menurutnya, kedua-dua bengkel ini akan dilaksanakan bagi membimbing penulis-penulis muda dan baharu untuk memperluaskan lagi pengetahuan dan kemahiran serta teknik penulisan esei ilmiah sastera.
Di majlis itu menyaksikan Awang Aliff Asyraf bin Musli dengan tajuk karangan ‘Jangan Jadi Pengotor’ telah diumumkan mendapat penghormatan pertama bagi kategori A dalam Peraduan Menulis Karangan Naindung, Mekar, Juara Pelajar DBP 2021/2022.
Manakala penghormatan pertama dalam kategori B dalam peraduan tersebut ialah Dayang Aleya Anak Claxairi dengan tajuk karangan ‘Di Mana Ada Kemahuan Di Situ Ada Jalan’, kemudian diikuti penghormatan pertama dalam kategori C, penulis tajuk karangan ‘Kepentingan Komputer kepada Guru dan Pelajar’ yang ditulis oleh Awang Nur Muhammad Danial Al-Haqq bin Haji Ar’fan.
Sementara Awang Muhammad Haris Zakariya bin Ra’ame dengan tajuk karangan ‘Sifat Tidak Camah Mata’ telah menerima penghormatan pertama untuk kategori D dalam peraduan tersebut.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada Peraduan Menulis Cerpen Bahana DBP 2021-2022 dan peraduan menulis kritikan sastera Bahana DBP 2021-2022.
Dayang Syakirah binti Matusin dengan tajuk cerpen ‘Legasi’ dan Awangku Muhammad Nur Safiuddin bin Pengiran Haji Harun dengan tajuk cerpen ‘Sakit Awang Tunggal’ masing-masing telah diumumkan sebagai penerima penghormatan pertama.
Sementara Peraduan Penulisan Esei Ilmiah Pangsura 2022 hanya dapat meletakkan penghormatan ketiga sahaja yang mana telah dimenangi oleh Awang Mohamad Fathullah bin Haji Rashid.
Beliau telah menghasilkan tajuk kritikan sastera, ‘Citra Wanita dalam Diandangan Tuan Pemaga (2011) daripada pendekatan feminisme’.
Para pemenang dalam peraduan ini masing-masing membawang pulang hadiah berupa wang tunai, plak, sijil penyertaan, majalah, dan buku terbitan DBP.
Turut hadir di majlis itu, pemangku timbalan pengarah, pegawai dan kakitangan DBP, pengetua, guru besar, ibu bapa, penulis dan penggiat sastera tanah air.