Saturday, October 26, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancis keluar waran tangkap pasangan bawa lari anak damit pramatang

    BOBIGNY, 25 OKT – Pihak berkuasa Perancis telah mengeluarkan waran tangkap Eropah untuk pasangan muda yang melarikan diri ke Belgium selepas membawa lari anak damit pramatang mereka dari sebuah hospital di pinggir bandar Paris, kata pendakwa raya hari ini.

    Anak damit yang dilahirkan lapan minggu lebih awal, yang hanya dinamakan sebagai Santiago, memerlukan rawatan perubatan yang berterusan untuk terus hidup. Namun lewat petang Isnin, hanya 17 hari selepas kelahirannya, ibu bapanya yang berusia 23 dan 25 tahun telah membawa keluar anak damit itu dari unit neonatal di hospital Robert Ballanger di Aulnay-sous-Bois, timur laut Paris.

    Setelah meminta bantuan orang ramai untuk mendapatkan maklumat dengan amaran penculikan di seluruh negara, pihak berkuasa kini berkata pasangan itu melarikan diri bersama Santiago ke Belgium.

    “Waran tangkap untuk ibu bapa itu telah dikeluarkan di peringkat Eropah dan secara lebih meluas melalui Interpol,” kata Eric Mathais, ketua pendakwa di jabatan Seine-Saint-Denis.

    Polis dan pendakwa berkata dalam sidang akhbar kelmarin bahawa mereka ‘amat bimbang’ tetapi tidak ‘berputus asa’ untuk mencari Santiago dalam keadaan hidup.

    Mereka merayu kepada pasangan itu untuk membawa anak mereka segera ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan serta-merta.

    Dua lelaki dan seorang wanita yang mempunyai kaitan dengan ibu bapa berkenaan telah ditangkap pada pagi Selasa di Seine-Saint-Denis. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda