Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Tahun 2024 merupakan tahun yang amat penting dalam hubungan persahabatan dan kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand di mana ia merupakan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik di antara kedua-dua buah negara yang ke-40 tahun.
Dalam hubungan itu, masyarakat Thai yang bermastautin di negara ini bersedia untuk bekerjasama dengan agensi-agensi relevan kerajaan bagi sama-sama memahami dan mengetahui peraturan bagi mereka terus berkhidmat, belajar dan menetap dengan harmoni di Brunei, jelas Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Boosara Kanchanalai dalam kata alu-aluannya semasa sesi taklimat mengenai Garis Panduan bagi Hak Pekerja di bawah Perintah Pekerjaan, 2009 dan Peraturan Imigresen yang berlangsung di Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam, Kiarong, hari ini.
Beliau menyatakan sesi taklimat itu bermatlamat menyediakan maklumat yang berguna dan relevan bagi komuniti Thai yang berkhidmat, bermastautin dan belajar di negara ini.
Sesi taklimat berkenaan dianjurkan oleh Kedutaan Thailand di sini di mana ia mengetengahkan sesi taklimat yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan bagi komuniti Thai.
Sesi taklimat itu merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah Team Thailand yang dianjurkan bersama oleh Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam dan Pejabat Hal Ehwal Buruh di Brunei bagi memperkasa komuniti Thai di Negara Brunei Darussalam dengan maklumat mengenai peraturan serta hak di tempat kerja dan maklumat-maklumat yang relevan bagi mereka yang bekerja, belajar dan menetap di Brunei.