Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perkuat sistem imun dengan pendidikan agama

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Dalam era digital masa ini, cabaran semakin besar, terutama dengan kehadiran media sosial yang kadang-kadang menyebarkan maklumat bercanggah dengan ajaran Islam aliran Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

    Oleh itu, kita perlu memperkuat sistem imun atau kekebalan diri dengan pendidikan agama. Ini penting, supaya kita tidak terpengaruh oleh ideologi dan pemikiran yang tidak selari dengan dasar kerajaan.

    Perkara itu ditekankan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) semasa berkenan mengurniakan sabda pada Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, malam ini.

    Dalam sabda Duli Yang Teramat Mulia turut mengimbas titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena sambutan Maulidur Rasul yang lalu mengenai keperluan untuk memelihara akal di sebalik cabaran masa kini dalam mana Baginda Sultan turut menitahkan antara lain tentang akal yang sihat menjamin kehidupan berkat.

    Sehubungan dengannya, sabda Duli Yang Teramat Mulia, Baginda Sultan juga seterusnya menitahkan bagi aktiviti-aktiviti dakwah yang dikendalikan oleh pihak-pihak berkenaan akan dapat disampaikan secara berhikmah, sehingga mampu untuk menjadi benteng menghalangi ajaran-ajaran sesat daripada disebar melalui pelbagai bentuk aplikasi media.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Jika akal sihat, semua akan berjalan dengan baik, lancar dan berjaya. Sebab itu gejala mental merupakan menjadi keutamaan untuk dirawat.

    “Dengan demikian, keperluan untuk memelihara akal dan seterusnya memperkukuh kekebalan diri adalah bertepatan dengan tema musabaqah kali ini, iaitu Akal Sihat dengan Al-Quran. Fungsi akal sihat menurut Al-Quran adalah akal yang selalu ingat kepada Allah, mengenal kebesaranNya, dan menjalankan fungsinya sesuai dengan tujuan penciptaannya.”

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda ‘akal’ disebut dalam Al-Quran sebanyak 49 kali dalam mana para ulama menafsirkan kata ‘akal’ disebut dengan kata kerja, iaitu suruhan supaya manusia sentiasa dalam proses memikir, memahami dan seterusnya mengenali Maha Pencipta alam semesta.

    Duli Yang Teramat Mulia seterusnya bersabda konsep ‘Akal Sihat dengan Al-Quran’ bermaksud kesihatan dan ketajaman pemikiran seseorang bergantung kepada sejauh mana akal itu berpandukan ajaran Al-Quran.

    Al-Quran menyihatkan akal dengan membimbing akal ke arah kebenaran, mengajarkan manusia berfikir secara kritis dan merenungkan tanda-tanda kebesaranNya. Al-Quran juga menjauhkan daripada pemikiran yang tidak sihat, negatif dan songsang serta menghindarkan daripada ideologi yang menyesatkan dan nafsu yang melampaui batas.

    “Di sinilah signifikannya peranan semua pihak berkepentingan khasnya dalam bersama-sama menjunjung serta menanai titah saranan Paduka Ayahanda seiring dengan keperluan untuk memperkasa masyarakat dalam menghayati ajaran-ajaran murni Islam berlandaskan Maqasid Syariah ke arah melahirkan generasi bangsa dan negara yang sentiasa berusaha meraih keberkatan kehidupan duniawi dan ukhrawi,” sabda Duli Yang Teramat Mulia.

    Selain itu, Duli Yang Teramat Mulia juga bersabda, kalam Allah yang termaktub dalam kitab suci Al-Quran yang diwahyukan melalui Malaikat Jibril AS merupakan mukjizat teragung yang diturunkan kepada nabi terakhir Rasulullah SAW sebagai pedoman dan petunjuk sepanjang zaman.

    Di dalamnya terkandung hukum mengenai ibadah secara individu dan undang-undang sosial, kisah para nabi dan umat terdahulu termasuk pelbagai petunjuk tentang kekuasaan Allah Maha Pencipta, kejadian alam dan sains.

    Hikmahnya adalah untuk diimani dengan hati dan difikirkan dengan akal manusia yang sihat. Akal yang sihat dan cerdas sahaja yang dapat mendalami dan memahami hikmah ayat-ayat yang terkandung dengan melazimkan membaca, di samping mengukuhkan kefahaman melalui amalan tadabbur yang menjurus kepada menerangkan mata hati serta akal dan minda yang tajam.

    Justeru, akal dikurniakan kepada manusia sebagai alat organ spiritual untuk memahami, menilai dan membuat keputusan berpandukan kepada wahyu Illahi agar tidak tersesat daripada kebenaran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda