Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Syarikat Pengurusan Kifayah Ar-Razaq dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata, Gadong, baru-baru ini telah mengadakan bengkel pengurusan jenazah bertempat di Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata.
Seramai 45 peserta telah menyertai bengkel berkenaan yang bermatlamat untuk memberi pendedahan mengenai pelaksanaan fardu kifayah, serta mempersiapkan individu untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengurus jenazah apabila diperlukan.
Bengkel itu disampaikan oleh salah seorang tenaga pengajar di Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Asmady bin Haji Ahmad, manakala peserta perempuan dikendalikan oleh Hajah Siti Animi binti Haji Sallleh dan Dayangku Noraidah binti Pengiran Salleh yang merupakan penggapai-penggapai dari KHEU.
Bengkel itu bertujuan untuk memperkukuh pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan jenazah, sambil mengingatkan peserta tentang hakikat kematian sebagai sebahagian daripada kehidupan. Program ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada peserta untuk meneruskan perkongsian ilmu yang diperoleh dan memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada masyarakat. Dengan itu, pengurusan jenazah di negara ini dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berlandaskan prinsip-prinsip syariat Islam.