Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Dalam menggerakkan Strategic Partnership antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU), tumpuan harus diberikan kepada cabaran semasa yang mendesak seperti perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan kemusnahan hutan, yang telah menyumbang kepada corak cuaca ekstrem, kehilangan air yang selamat untuk diminum, pencemaran udara dan kemerosotan alam sekitar.
Oleh itu, ASEAN dan EU perlu melaksanakan peralihan hijau untuk memastikan pertumbuhan dan pembangunan yang lebih mampan, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan berangkat menghadiri Sesi Pleno, Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-EU yang berlangsung di Bangunan Europa, Brussels, Belgium, kelmarin.
Semasa bertitah di sesi itu, Baginda Sultan turut mengalu-alukan kerjasama melalui Program Inisiatif Hijau di Asia Tenggara dan berharap dapat bekerjasama dengan EU melalui Pusat Perubahan Iklim ASEAN, yang akan ditubuhkan di Negara Brunei Darussalam.
Berangkat mengiringi Baginda ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan paduka anakanda Baginda di Justus Lipsius, Bangunan Europa telah dialu-alukan oleh Presiden Majlis Eropah, Tuan Yang Terutama Charles Michel; dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Puan Yang Terutama Ursula Gertrud von der Leyen.
Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan bergambar bersama TYT Charles Michel dan PYT Ursula Gertrud von der Leyen sejurus keberangkatan di Justus Lipsius, Bangunan Europa. – AFP
Sesi pleno itu membincangkan mengenai hala tuju Hubungan Dialog ASEAN-EU serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Selain itu, Baginda turut menekankan pentingnya untuk mengubah sistem makanan dunia bagi mengelakkan pembaziran dan kerugian makanan.
Bagi tujuan tersebut, Baginda mengetengahkan faedah untuk bekerjasama dalam bidang tersebut, memandangkan pengalaman EU dalam transformasi digital serta kemajuannya dalam Revolusi Perindustrian Keempat, seperti pembangunan dan penggunaan pendekatan inovatif dalam pengeluaran pertanian, sistem pengedaran dan penyimpanan yang cekap.
Semasa sesi itu juga, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengetengahkan bahawa tahun ini ASEAN dan EU meraikan 45 tahun hubungan dialog dan sebagai pertubuhan-pertubuhan serantau yang berjaya dan rakan kongsi semula jadi yang menggalakkan integrasi, keamanan dan keselamatan serantau.
Terdahulu, Baginda Sultan bersama-sama para pemimpin ASEAN dan EU menghadiri majlis pembukaan rasmi yang dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada TYT Charles Michel; dan Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, juga selaku pengerusi-pengerusi bersama Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-EU.
Majlis disusuli dengan ucapan-ucapan pembukaan daripada PYT Ursula Gertrud von der Leyen; Presiden Republik Filipina selaku negara penyelaras ASEAN-EU, Tuan Yang Terutama Ferdinand Romualdez Marcos Jr; Perdana Menteri Republik Czech, Tuan Yang Terutama Petr Fiala, selaku Presiden Majlis EU; dan Presiden Republik Indonesia, selaku Pengerusi ASEAN bagi 2023, Tuan Yang Terutama Joko Widodo.
Diikuti pula dengan Keba-wah Duli Yang Maha Mulia menyertai bersama para pemimpin ASEAN dan EU yang lainnya bagi sesi bergambar ramai.
Pada penghujung sidang kemuncak, Kenyataan Bersama Pemimpin-pemimpin Sidang Kemuncak Komemoratif ASEAN-EU telah diluluskan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan paduka anakanda Baginda berangkat meninggalkan Brussels, Belgium selepas menghadiri sidang kemuncak tersebut.
Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.