LITTLE RANN OF KUTCH, INDIA – Roshni Thakor meninggalkan sekolah untuk memproses garam dari gurun India yang kering-kontang, perniagaan menjerihkan yang diamalkan oleh moyangnya selama berabad-abad namun sekarang dibelenggu ancaman perubahan iklim.
Selama lapan bulan setiap tahun, para petani bekerja keras dalam cuaca panas terik untuk mengeluarkan air masin dari sumur buatan manusia di negeri barat Gujarat.
Kristal garam seberat satu tan yang terhasil boleh dijual dengan harga 300 rupee, namun disebabkan jumlah hujan yang tidak menentu, suhu meningkat serta badai abu yang sering berlaku telah mengurangkan hasil, dan menjadikannya lebih sukar untuk Thakor dan keluarganya.
“Cuaca semakin panas di sini. Mata saya terasa pedih dan saya selalu rasa pening dan mual,” beritahu gadis berusia 20 tahun itu kepada AFP, sementara ibunya menyediakan minuman teh di atas dapur kayu.
Cuaca tidak menentu telah membawa kerugian besar kepada keluarganya, tetapi bapanya Raju berkata mereka mesti meneruskan usaha untuk menokok tambah pendapatan dari empat lembangan garam.
“Saya tidak mempunyai pilihan melainkan terus bekerja di sini memandangkan saya tidak memiliki sebarang tanah pertanian. Saya tidak mempunyai mana-mana sumber pendapatan lain,” katanya.
India ialah pengeluar ketiga terbesar garam di dunia dan hampir tiga suku pendapatan tahunannya datang dari Gujarat.
Keluarga Thakor adalah terdiri daripada antara puluhan ribu puak ‘Agariyas’, atau petani garam, yang menghabiskan masa hampir sepanjang tahun tinggal dan bekerja di dataran kukup tandus di Gurun Thar.
Mereka menggali telaga sedalam 50 kaki dengan penyodok dan tangan sebelum menggunakan pam diesel untuk menyalirkan air ke lembangan besar berbentuk segi empat tepat, di mana ia menyejat dan meninggalkan di belakang kristal garam.
Kerja tersebut amat menjerihkan. Petani menyediakan lembangan garam dengan menginjak-injak kaki mereka untuk mengekalkan air garam dan menghalangnya daripada meresapi semula ke dalam tanah, satu proses yang meninggalkan mereka mudah terdedah kepada jangkitan kaki yang menyakitkan.
Cuaca panas memainkan peranan penting dalam proses pembuatan garam, dengan suhu 24 darjah Celsius merupakan suhu optimum untuk pembentukan hablur garam, menurut Raju.
Namun perubahan iklim menjadikannya lebih sukar untuk merancang pemprosesan garam dan menangguhkan permulaan musim perladangan, selain membawa gelombang haba yang teruk kepada mereka yang bekerja di tanah padang pasir.
Pembasmian hutan dan pembangunan tanpa terancang telah pun mengubah musim monsun India, dengan laporan kerajaan baru-baru ini mengingatkan bahawa perubahan iklim menjadikan hujan tidak dapat diramalkan dan juga semakin lebat sejak kebelakangan ini.
“Pengeluaran garam memerlukan cuara kering – jika ia hujan secara tiba-tiba, segala usaha kami akan menjadi sia-sia,” lata Raju Thakor. “Garam larut dan kami perlu bermula dari awal lagi.”
Laporan kerajaan yang sama mengingatkan India berdepan kenaikan suhu purata sebanyak 4.4 darjah menjelang akhir abad ini.
Dhvanit Pandya, yang mengendalikan kumpulan penyokong petani garam tempatan, berkata merkuri telah pun meningkat amat tinggi di Gurun Thar sejak satu dekad lalu, dengan tahap maksimum pada waktu siang ada kalanya mencecah 54 darjah sekarang.
Ribut abu juga berlaku semakin kerap sekarang, membuat lembangan garam berlumpur dan sekali gus menjejas harga jualan.
“Peniaga mengurangkan harga separuh sekiranya garam tidak bermutu,” kata Pandya.
Pandya menganggarkan petani kini kehilangan satu perempat daripada hasil garam mereka setiap tahun disebabkan perubahan mendadak dalam pola cuaca, justeru menjerumus ramai keluarga dalam kemiskinan.
Puak Agariyas berkata nenek moyang mereka telah mengerjakan garam di rantau itu lebih daripada 500 tahun lamanya. Rumah mereka di gurun Gujarati, jauh dari pusat populasi negeri, tidak mempunyai bekalan elektrik.
Air bersih di padang pasir sukar diperoleh, dan kanak-kanak komuniti menghabiskan hampir sepanjang tahun ponteng sekolah.
Satu inisiatif kerajaan yang dilancarkan hampir satu dekad lalu membantu sesetengah petani garam mengganti pam diesel mereka dengan motor solar bertujuan membantu me-ngurangkan kos pengeluaran mereka.
Pandya berkata skim tersebut pastinya dapat membantu mempertingkat mata pencarian mereka ‘walaupun perlahan.’ Komuniti gurun mempunyai hubungan yang amat erat, berkomunikasi dengan menggunakan cermin untuk memancar cahaya matahari yang terpantul di pondok jauh. – AFP