Oleh Hakim Hayat
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Feb – Satu penerbangan AirAsia yang dalam perjalanan ke Bandar Seri Begawan dari Kuala Lumpur, Malaysia telah dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Sabah, Malaysia, petang tadi, ekoran mengalami masalah teknikal.
AirAsia Berhad dalam satu kenyataan menerusi e-mel mengesahkan kejadian berkenaan, menyatakan penerbangan AK278 dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sekitar pukul 4 petang.
Kenyataan itu menambah bahawa satu penerbangan baru berlepas jam 7:13 malam dari KKIA dan selamat mendarat di Bandar Seri Begawan.
“Keselamatan penumpang-penumpang kami adalah paling penting, kami mohon maaf bagi sebarang kerumitan yang berlaku,” tambah syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkenaan.
Seorang penumpang yang terbang bersama anak-anaknya dan tidak ingin dikenali berkata, apabila menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, juruterbang dan kru penerbangan mengumumkan bahawa penerbangan sedang dilencongkan ke KKIA ekoran masalah dengan gear pendaratan.
Katanya lagi, mereka juga diberitahu bahawa pihak berkuasa lapangan terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 menemui serpihan di landasan dipercayai datangnya daripada pesawat berkenaan. Bagaimanapun, syarikat penerbangan dan pegawai-pegawai lapangan terbang tidak mengesahkan.
Beliau berkata, mereka diberitahu bahawa KKIA mempunyai landasan yang lebih panjang untuk menyesuaikan pendaratan kecemasan, sebab itulah keputusan diambil untuk melencongkan penerbangan berkenaan.