Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Lebih 60,000 orang direkodkan telah mengunjungi Pesta Buku Brunei 2023 anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung selama 10 hari di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Secara keseluruhan, sebanyak 42 pempamer telah menyertai pesta buku kali ini yang terdiri daripada institusi dan penerbit kerajaan, toko buku serta syarikat swasta.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 11 pempamer dari luar negara menyertai pesta buku ini buat julung kalinya. Mereka terdiri daripada Hijanah Holdings, Naseehat Official, Kesultanan Oman, Penerbit Universiti Malaysia Sabah, Penerbit Universiti Putra Malaysia, Kedai Buku Pak Latip, Muslim Generation, Biblio Bookshop and Press, Bravo Global Venture (M) Sdn Bhd, Maktabah Al-Risalah, dan Ridh Leo Craft.
Penyertaan yang memberangsangkan ini menunjukkan sokongan padu daripada pelbagai pihak yang turut sama berganding bahu mendukung usaha DBP dalam membudayakan dan menyemai minat masyarakat untuk membaca.
Pesta itu diselajurkan dengan pelancaran 19 buah buku terbaharu terbitan DBP, penyampaian buku terbaharu dan dokumen perjanjian kepada para penulis, penyampaian Hadiah Buku Terlaris 2022, dan sijil penghargaan kepada para penaja yang disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku tetamu kehormat semasa majlis perasmian pada 5 Ogos lalu.
Selain pameran dan jualan buku, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk Bual Bicara Bersama Duta Bahasa, Kuiz Kahoot Menjunjung Bahasa, Rumah Pusaka, Bincang-bincang Buku, Bicara Buku, Taklimat Akta Penerbitan Bahan dan ISBN, Temu dan Sapa Bersama Penulis dan Editor Buku, Kuiz Spontan, Bengkel Penerbitan Buku Ilmiah dan Jurnal Scopus.