Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Seramai 24 guru dari Persatuan Besara, Sarawak telah mengadakan lawatan muhibah ke Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), Bangunan PGGMB, kelmarin.
Lawatan muhibah yang diketuai oleh Cikgu Noraimi binti Ambon diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim, membuat jaringan kerjasama dengan PGGMB dan juga untuk mempelajari pengurusan dan pentadbiran PGGMB.
Ketibaan rombongan telah dialu-alukan oleh Yang DiPertua PGGMB, Cikgu Haji Abdul Alim bin Haji Awang Othman, Jawatankuasa Tertinggi serta Jawatankuasa Tadbir PGGMB dengan ucapan terima kasih kepada delegasi rombongan kerana sudi datang ke PGGMB.
Yang DiPertua juga mengongsikan beberapa rancangan sempena 100 tahun PGGMB kepada rombongan sebelum penyampaian taklimat ringkas oleh Setiausaha Agung PGGMB, Cikgu Haji Mustapa bin Haji Masri di mana beliau telah menerangkan Sejarah Penubuhan PGGMB dari 1937 hingga kini, pengurusan dan pentadbiran PGGMB, perkembangan dan kemajuan PGGMB dan aktiviti-aktiviti serta rancangan yang sedang dan telah dilaksanakan sejak penubuhan PGGMB.
Sementara itu, dalam ucapan balasnya, Cikgu Noraimi menyatakan perasaan kagum atas kejayaan dan pencapaian telah diperoleh PGGMB. Beliau juga bersyukur kerana dapat berkunjung ke PGGMB dan Negara Brunei Darussalam.
Beliau turut menjemput PGGMB melawat ke Persatuan mereka pada masa akan datang dan berharap lawatan berkenaan dapat menjalin kerjasama bermanfaat bagi kedua-dua persatuan.