PHNOM PENH, 27 APRIL – Pemimpin Kemboja, Hun Sen hari ini membatalkan undang-undang yang diciptanya hanya dua bulan lalu untuk melindungi dolfin Mekong yang sangat terancam ketika mamalia itu terus mati akibat aktiviti menangkap ikan secara haram.
Hun Sen mengeluarkan dekri baharu berkenaan pada Februari, mewujudkan zon perlindungan di sepanjang 120 kilometer (75 batu) di Mekong, di mana penangkapan ikan diharamkan, berikutan kematian tiga dolfin dalam seminggu.
Tetapi dua ekor dolfin telah mati, termasuk seekor anak dolfin berusia empat hari yang ditemui mati minggu lalu terjerat dalam pukat.
Hun Sen hari ini berkata dia telah memutuskan untuk membatalkan dekri baharu itu kerana “dolfin terus mati dan beribu-ribu keluarga nelayan terjejas”.
“Kami mahu melindungi ikan lumba-lumba yang berisiko pupus, tetapi dolfin terus mati,” katanya pada satu acara di Phnom Penh.
“Dolfin terus terjerat dalam jala walaupun dilarang,” tambahnya, merujuk kepada pukat yang diikat di seberang sungai oleh nelayan. – AFP