Saturday, October 5, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    PM Li Qiang seru kerjasama antarabangsa dalam AI

    SHANGHAI, 5 JULAI – Perdana Menteri China, Li Qiang, kelmarin menyeru kerjasama global dan pemikiran yang lebih terbuka dalam bidang kecerdasan buatan (AI), di tengah persaingan yang semakin memuncak antara Beijing dan Washington dalam bidang teknologi yang sedang berkembang pesat.

    China telah berlumba-lumba untuk mengejar syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) dalam AI generatif khususnya, dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengatakan pada Rabu bahawa Beijing adalah pemohon paten AI generatif tertinggi di peringkat global.

    AS dan negara-negara lain telah bertindak balas dengan cemas terhadap teknologi China yang didakwa mereka boleh digunakan untuk operasi pengintipan, dengan Washington membatalkan lesen untuk beberapa eksport cip pada bulan April selepas Huawei China memperkenalkan komputer yang dikuasakan oleh teknologi AI Intel.

    Li kelmarin menggesa negara-negara untuk mengamalkan ‘pemikiran yang lebih terbuka’ dan mempromosikan kerjasama antarabangsa dalam AI.

    “Setiap negara mempunyai kelebihan tersendiri dalam teknologi AI, data dan pasarannya, jadi kita harus terlibat dalam kerjasama bersama dan bergabung tenaga,” kata Li dalam ucapan pada sesi pembukaan Persidangan AI Dunia (WAIC) di Shanghai.

    Syarikat teknologi China dijangka memperkenalkan pelbagai produk AI baharu di konvensyen antarabangsa yang berlangsung selama beberapa hari itu.

    Li dalam ucapannya menggesa negara-negara untuk mempromosikan ‘pergerakan data merentasi sempadan, perniagaan bebas peralatan dan kesalinghubungan infrastruktur’.

    Beliau mengingatkan bahawa risiko yang dibawa oleh teknologi AI yang berkembang pesat juga memerlukan tumpuan bersepadu antarabangsa.

    “Tiada negara boleh terkecuali,” kata Li, menyeru kepada penggubalan peraturan global dan piawaian teknikal untuk AI. – AFP

    Pelawat melihat kenderaan elektrik Cybertruck Tesla semasa Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) di Shanghai, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda