Sunday, December 15, 2024
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    PPNBD hadiri sidang ASARC ke-19

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Delegasi Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah menghadiri Persidangan Kerjasama Serantau Persatuan Pengakap ASEAN (ASARC) ke-19 yang berlangsung di Ibu Pejabat Boy Scouts of Philippines, Manila, dari 4 hingga 6 Oktober.

    Delegasi PPNBD yang diketuai oleh Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas, turut diiringi oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Junaidi bin Haji Hussin, serta Pemangku Pesuruhjaya Ibu Pejabat (Media dan IT), Awang Muhammad Arman Jahran bin Abdullah Besi.

    Persidangan tersebut dihoskan oleh Boy Scouts of Philippines, bertujuan membincangkan hala tuju serta isu-isu penting bagi memajukan dan memastikan kelangsungan pergerakan pengakap peringkat ASEAN. Antara topik yang dibincangkan termasuklah kerjasama, persahabatan dan penyelarasan usaha dalam kalangan persatuan pengakap negara anggota ASEAN.

    ASARC dihasratkan dan dirumuskan daripada semangat ASEAN, seperti yang dinyatakan dalam piagam persatuan, dengan matlamat utama untuk memupuk persaudaraan dan kerjasama serantau. Melalui kerjasama yang lebih erat, negara anggota berusaha menyelaraskan program dan aktiviti pengakap demi kepentingan rakyat, terutamanya golongan belia.

    Selain itu, ASARC juga bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama antara negara ahli berdasarkan prinsip pengakap dan Piagam ASEAN, bagi membantu pembangunan dan promosi pengakap di negara-negara rantau ini serta untuk menangani isu-isu pengakap.

    Dato Paduka Ar Haji Idris dan wakil PPNBD semasa menghadiri persidangan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PPNBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda