Saturday, October 5, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Prebet hilang ditemukan selamat

    LIMBANG, 7 JULAI – Seorang anggota tentera daripada pasukan Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) yang dilaporkan hilang ketika bertugas dalam Op Ukur bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) di sini pada 18 Jun lepas, ditemukan selamat pagi kelmarin.

    Menurut kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM), Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim yang berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu itu ditemukan oleh kumpulan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 11.29 pagi selepas 18 hari SAR dilancarkan.

    Kenyataan itu memaklumkan Muhammad Syafiq ditemukan dalam keadaan selamat serta lengkap bersama peralatan dan senjata, namun lemah akibat kelaparan dan dehidrasi serta telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan di lokasi penemuan.

    “Prebet Muhammad Syafiq telah berjaya menjejaki tanda-tanda panduan laluan rintis pencarian yang sengaja dibuat di sekitar lokasi pencarian. Keluarga Prebet Muhammad Syafiq telah dihubungi pihak TDM dan akan diterbangkan ke Sarawak dalam masa terdekat. Semua perbelanjaan perjalanan akan ditanggung sepenuhnya oleh TDM,” menurut kenyataan itu kelmarin.

    Prebet Muhammad Syafiq ditugaskan sebagai pengiring penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia–Brunei Darussalam di kawasan pengukuran Ulu Tutong ke Bebuloh, Limbang bermula 11 Jun hingga 2 Sept 2024 yang dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan.

    TDM merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi terlibat dalam operasi terbabit terutama kerajaan Sarawak, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan JUPEM atas kerjasama serta komitmen diberikan sehingga anggota tentera itu ditemukan selamat.

    TDM turut mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) atas bantuan dan sokongan dihulurkan sepanjang operasi SAR dijalankan.

    Kenyataan itu menyatakan TDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan sebagai penambahbaikan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada. – BERNAMA

    Gambar Unsplash

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda