Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar Ali Saifuddien, di sini, minggu ini telah mengetengahkan tazkirah mengenai ‘Peranan Warga Emas Terhadap Pembangunan Negara’.
Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud serta datin; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin OKML Haji Yusof dan Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.
Turut sama menyerikan program ialah Jabatan Hal Ehwal Syariah, Bahagian Pendakwaan Syar’ie dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama, KHEU.
Tazkirah pada program itu telah disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Urusan Haji, KHEU, Haji Abdul Rahman bin Haji Matzain.

Program yang dikelolakan KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid, Pusat Dakwah Islamiah dan Bahagian Kemajuan Syiar Islam dengan kerjasama Masjid Omar ’Ali Saifuddien itu merupakan program mingguan dan ajakan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan Sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah di awal waktu di masjid.
‘Masjidku Makmur, Negara Berkat’ turut memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara Bandarku Ceria, memulakan langkah dan keceriaan hari dengan meraih keberkatan dengan menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.
Kehadiran jemaah memakmurkan rumah Allah diharapkan akan dapat menghidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah S.A.W dan dapat menimbulkan rasa persamaan di antara umat Islam dalam melaksanakan sembahyang berjemaah dan amal ibadat bersama-sama.
Makmurnya masjid-masjid di negara ini, adalah antara landasan bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan daripada Allah S.W.T bagi diri, keluarga dan juga Negara.