Wednesday, February 5, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    PSG bakal hadapi Real Madrid di UCL

    PARIS, 14 DIS – Paris Saint-Germain (PSG) akan menentang Real Madrid manakala Liverpool bakal bertemu Inter Milan dalam dua perlawanan yang menarik perhatian dalam pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas UEFA terpaksa membuat semula undian berikutan ‘masalah teknikal’.

    PSG pada mulanya telah diundi temu Manchester United dalam perlawanan yang akan menyaksikan saingan lama, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo bertemu sesama mereka.

    Bagaimanapun, undian yang dilakukan semula menyaksikan mereka akan menentang rekod juara Eropah 13 kali, Real Madrid manakala Manchester United akan menentang juara Sepanyol, Atletico Madrid.

    UEFA sebelum ini menyalahkan ‘kesilapan material’ kerana ‘masalah teknikal dengan perisian pembekal perkhidmatan luar’ dan ia mengumumkan bahawa undian untuk pusingan kalah mati pertama bagi kejohanan utamanya ini perlu dibuat semula tiga jam kemudian.

    Dengan undian yang disiarkan secara langsung dari ibu pejabat UEFA di Nyon, Switzerland, masalah itu jelas berlaku apabila nama Manchester United diundi untuk menentang Villarreal, walaupun pada hakikatnya kedua-dua kelab itu tidak mungkin bermain antara satu sama lain setelah berada dalam kumpulan yang sama.

    Bola yang mengandungi nama United kemudiannya tidak kelihatan diganti dengan betul dan oleh itu mereka tidak dimasukkan sebagai lawan yang mungkin untuk pasukan seterusnya yang diundi.

    Dengan keseluruhan undian dikompromi, UEFA tidak mempunyai banyak pilihan selain memulakan semula cabutan tersebut.

    PSG milik Qatar, dengan barisan pemain bintang penyerang mereka, Messi, Neymar, Kylian Mbappe dan Angel Di Maria, kini berdepan pasukan Real yang kini menduduki puncak La Liga, dipimpin oleh bekas jurulatih PSG, Carlo Ancelotti.

    Real berjaya menewaskan PSG pada peringkat yang sama pada 2017/18 dan hubungan antara kelab baru-baru ini berada dalam keadaan surut dengan Real secara terbuka ingin menandatangani Mbappe, yang kontraknya akan tamat pada penghujung musim ini. – AFP

    Reaksi Kylian Mbappe meraikan setelah menjaringkan gol untuk PSG dalam perlawanan menentang AS Monaco pada 12 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda