Tuesday, March 18, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Purata 1,199 kes setiap hari

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JULAI – Dalam masa seminggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam adalah pada kadar purata kira-kira 1,199 kes setiap hari.

    Jumlah tersebut dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku wakil Menteri Kesihatan semasa sidang media COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    “Sebanyak 73,631 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 11.3 peratus daripada-nya adalah keputusan ujian yang positif,” kata Yang Berhormat Pehin.

    Beliau menambah, satu kes dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala enam kes dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi, hari ini.

    “Sepertimana dalam masa minggu-minggu sebelum ini, lebih 99 peratus daripada kes-kes yang dikesan dalam masa seminggu kebelakangan telah dikategorikan dalam kategori 1 atau 2 dan tidak memerlukan rawatan di hospital,” kongsi beliau lagi.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin (kiri) dan Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui (kanan).

    Yang Berhormat Pehin seterusnya mengongsikan mengenai kadar liputan vaksinasi COVID di Negara Brunei Darussalam setakat kelmarin, iaitu 74.6 peratus daripada keseluruhan
    rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin manakala 6.2 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.

    Manakala itu, sebanyak 79.2 peratus daripada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah mendapatkan dos kedua dan 52.7 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah mendapatkan dos ketiga.

    “Hari ini, sebanyak 1,024 kes baharu telah dilaporkan iaitu 1,009 kes hasil ART dan 15 kes adalah hasil daripada 341 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu,” jelas Yang Berhormat Pehin.

    Beliau sehubungan itu turut mengingatkan orang ramai untuk memuat naik keputusan ujian ART, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth untuk membantu Kementerian Kesihatan memantau situasi jangkitan.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Pehin berdoa, “Semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada segala bencana dan wabak penyakit serta berada dalam perlindungan Allah SWT jua.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda