Friday, November 15, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Putin beri penghormatan kepada perpaduan Rusia

    MOSCOW, 29 FEB – Presiden Vladimir Putin, hari ini memuji perpaduan negara Rusia, walaupun pertempuran berlanjutan di Ukraine, dalam ucapan negara menjelang pilihan raya bulan depan yang diramal dimenanginya.

    Bercakap kepada hadirin yang terdiri daripada penggubal undang-undang dan pegawai tertinggi dan disiarkan secara langsung di seluruh negara, Putin berkata Rusia ‘mempertahankan kedaulatan dan keselamatannya serta melindungi rakan senegara kita’ di Ukraine.

    Beliau memuji askar Rusia dan memperingati mereka yang terkorban dalam pertempuran dengan bertafakur.

    Putin, 71, yang bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya presiden pada 15 hingga 17 Mac, bergantung pada kawalan ketat ke atas sistem politik Rusia yang telah ditubuhkannya selama 24 tahun menerajui tampuk pemerintahan.

    Pengkritik terkemuka yang mencabarnya sama ada telah dipenjarakan atau tinggal di luar negara, manakala kebanyakan media bebas telah diharamkan, bermakna pemilihan semula Putin adalah hampir pasti. Beliau berdepan tentangan daripada tiga calon lain yang dicalonkan oleh parti pro Kremlin yang diwakili di parlimen.

    Pemimpin pembangkang Rusia yang paling terkenal, Alexei Navalny, dengan percubaannya untuk bertanding menentang Putin pada 2018 ditolak, meninggal dunia secara tiba-tiba di koloni penjara Artik awal bulan ini, ketika menjalani hukuman 19 tahun atas tuduhan ekstremisme. Pengebumian Navalny ditetapkan esok.

    Putin telah berulang kali berkata dia menghantar tentera ke Ukraine pada Februari 2022 untuk melindungi kepentingan Rusia dan menghalang Ukraine daripada menimbulkan ancaman keselamatan utama kepada Rusia dengan menyertai NATO. Kyiv dan sekutunya telah mengecamnya sebagai tindakan serangan yang tidak diprovokasi. – AP

    Vladimir Putin menyampaikan ucapannya di Moscow, Rusia pada 29 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda