Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Racun perosak masih ada dalam makanan anak damit, tetapi kurang toksik

    NEW YORK, 27 NOV – Makanan anak damit di Amerika Syarikat (AS) mungkin masih mengandungi racun perosak tetapi kurang toksik berbanding kira-kira 30 tahun lepas, menurut kajian terbaru oleh kumpulan alam sekitar bukan berasaskan keuntungan dari AS.

    Kajian terbaharu oleh Environmental Working Group (EWG) yang dikeluarkan pada pertengahan November lepas mendapati kira-kira 38 peratus daripada makanan anak damit konvensional atau bukan organik di AS mengandungi racun perosak.

    “Sekurang-kurangnya satu sisa racun perosak dikesan dalam 22 daripada 58 makanan anak damit konvensional,” kata EWG, lapor Xinhua.

    EWG memberi amaran bahawa anak damit dan kanak-kanak amat terdedah kepada potensi bahaya kesihatan akibat pengambilan makanan yang mengandungi sisa racun perosak pertanian.

    Kumpulan itu berkata ujian dibuat ke atas produk-produk daripada tiga jenama terkenal di AS iaitu Beech-Nut, Gerber dan Parent’s Choice.

    Walaupun penemuan itu membimbangkan, EWG berkata tahap racun perosak dalam makanan anak damit telah menurun berbanding kajian serupa yang dibuat pada tahun 1995.

    EWG berkata dalam kajian 1995, 53 peratus daripada 72 produk makanan anak damit yang diambil sampel mempunyai sisa sekurang-kurangnya satu racun perosak.

    Menurut kumpulan itu, racun perosak yang ditemukan secara keseluruhannya jauh lebih beracun dan berbahaya berbanding ujian terbaharu.

    Menurut laporan itu, antara racun perosak yang tidak lagi didapati pada makanan anak damit ialah chlorpyrifos atau pembunuh pepijat yang merosakkan otak.

    Pengambilan chlorpyrifos dalam jumlah kecil mampu merosakkan kesihatan anak damit dan kanak-kanak secara kekal. – Bernama

    Gambar – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda