Tuesday, December 17, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rehabilitasi, pemuliharaan cegah kejadian bencana berulang

    SUKABUMI, 16 DIS – Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq berkata bahawa rehabilitasi tanah dan pemuliharaan alam sekitar adalah penyelesaian utama untuk mencegah berulangnya kejadian tanah runtuh dan banjir kilat di daerah Sukabumi, Jawa Barat, lapor agensi berita Indonesia, Antara.

    “Berdasarkan imej satelit landskap kawasan ini, kita harus segera melaksanakan langkah strategik untuk mengelakkan kejadian serupa di Sukabumi, iaitu melalui rehabilitasi tanah dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya ketika menyampaikan bantuan kepada penduduk yang terjejas bencana di kawasan Pabuaran, Sukabumi, kelmarin.

    Justeru, kementeriannya menggalakkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta pihak berkepentingan lain untuk bersama-sama menguruskan alam sekitar melalui aktiviti rehabilitasi tanah dan pemuliharaan alam serta kejuruteraan awam.

    Nurofiq turut menekankan sokongan kementeriannya terhadap aktiviti penghutanan semula, termasuk penyediaan spesies pokok atau tumbuhan yang mempunyai pelbagai fungsi dan kegunaan.

    Selain daripada rehabilitasi tanah dan pemuliharaan, Nurofiq menegaskan kementeriannya sedang meningkatkan pengawasan terhadap pelbagai aktiviti yang menggunakan sumber alam semula jadi demi memastikan aktiviti berkenaan mesra alam.

    Menteri itu berkata, sekiranya mana-mana aktiviti didapati mengancam alam sekitar atau mengabaikan impak terhadap persekitaran, lesen mereka boleh dibatalkan dan tindakan undang-undang akan diambil. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda