SYDNEY, 18 DIS – Hampir tiga perempat remaja di Australia dilaporkan mengalami simptom kemurungan atau kerisauan yang signifikan secara klinikal sepanjang tempoh usia remaja mereka, menurut kajian yang diterbitkan oleh Murdoch Children’s Research Institute (MCRI), Melbourne, hari ini.
Kajian itu mendedahkan 74 peratus rakyat Australia melaporkan pernah mengalami simptom kemurungan atau kerisauan yang ketara sekurang-kurangnya sekali sepanjang usia remaja mereka, iaitu antara usia 10 hingga 18 tahun.
Lebih 1,200 kanak-kanak dari Melbourne telah mengambil bahagian dalam kajian tersebut, di mana simptom kemurungan dan kerisauan mereka dipantau dari tahun 2012 hingga 2019. Dalam kalangan peserta, 64 peratus mengalami kemurungan atau kebimbangan kronik, bermakna mereka melaporkan simptom itu sebanyak tiga kali atau lebih semasa remaja.
Kajian itu juga menunjukkan remaja perempuan lebih berisiko dengan 84 peratus melaporkan pernah mengalami simptom kemurungan atau kebimbangan sekurang-kurangnya sekali, berbanding hanya 61 peratus bagi remaja lelaki.
Penulis utama kajian, Ellie Robson, menyifatkan keputusan itu sebagai membimbangkan kerana masalah kesihatan mental semasa remaja boleh memberi kesan serius terhadap kesihatan sepanjang hayat.
“Ini adalah penemuan yang mengejutkan, terutamanya apabila begitu ramai remaja mengalami simptom ini selama bertahun-tahun. Simptom kemurungan atau kerisauan memberi kesan besar terhadap fungsi harian mereka dan boleh membawa kesan buruk jangka panjang terhadap kesihatan,” katanya dalam kenyataan media.
Kajian itu turut mendapati bahawa permulaan simptom kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan remaja meningkat ketika berdepan dengan waktu-waktu tertentu seperti tekanan pendidikan, termasuk peralihan sekolah, peperiksaan dan tamatnya pendidikan wajib.
Pengarang bersama kajian, Susan Sawyer berkata penemuan itu menunjukkan jumlah kumulatif tertinggi simptom gangguan mental yang pernah dilaporkan dalam kalangan remaja dari mana-mana negara. – Xinhua