Sunday, May 12, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    Resolusi larang senjata nuklear di angkasa lepas

    PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 19 MAC – Amerika Syarikat (AS) dan Jepun telah mengusulkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru semua negara supaya tidak menggunakan atau membangunkan senjata nuklear di angkasa lepas, umum duta AS kelmarin.

    Linda Thomas-Greenfield memberitahu mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, ‘Sebarang penempatan senjata nuklear di orbit mengelilingi Bumi akan menjadi sesuatu yang tidak pernah berlaku, berbahaya dan tidak boleh diterima’. Pengumuman tentang resolusi yang diedarkan oleh AS dan Jepun itu adalah berikutan pengesahan Rumah Putih bulan lalu yang menyatakan Rusia telah memperoleh keupayaan senjata anti-satelit yang ‘membimbangkan’, walaupun senjata sedemikian belum beroperasi lagi.

    Presiden Rusia, Vladimir Putin kemudian mengisytiharkan Moscow tidak berhasrat untuk menggunakan senjata nuklear di angkasa lepas, dengan mendakwa negara itu hanya membangunkan keupayaan angkasa lepas yang serupa dengan AS.

    Perjanjian Angkasa Lepas yang disahkan oleh kira-kira 114 negara termasuk AS dan Rusia melarang penggunaan ‘senjata nuklear atau apa-apa jenis senjata pemusnah besar-besaran’ di orbit atau penempatan ‘senjata di angkasa lepas dengan cara lain’.

    Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa, yang mempengerusikan mesyuarat majlis itu, berkata walaupun semasa ‘konfrontasi’ Perang Dingin, para pesaing bersetuju untuk memastikan angkasa lepas kekal aman. Larangan meletakkan sebarang senjata pemusnah besar-besaran ke orbit mesti dikekalkan hari ini, katanya.

    Thomas-Greenfield berkata, “Semua pihak dalam perjanjian itu mesti komited kepada pengharaman nuklear dan senjata pemusnah lain, dan kita mesti menggesa semua negara anggota yang belum lagi menerimanya supaya bersetuju tanpa berlengah-lengah.” Dia berkata AS berharap untuk melibatkan diri dengan anggota Majlis Keselamatan 15 negara yang lain ‘untuk memberikan persetujuan mengenai teks itu’. – AP

    Greenfield berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB di ibu pejabat PBB. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bekas PM Fiji dipenjara salah guna kuasa

    SUVA, FIJI, 10 MEI - Bekas Perdana Menteri Fiji, Frank Bainimarama, dijatuhi hukuman penjara selama setahun hari ini atas kesalahan menghalang proses keadilan selepas...