Sunday, October 6, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rumah komuniti di Chinatown Bangkok dijilat api, 60 hilang tempat tinggal

    BANGKOK, 7 JULAI – Rumah komuniti Trok Pho yang dibina daripada kayu di Jalan Yaowarat, Chinatown musnah dalam kebakaran malam tadi.

    Kebakaran yang bermula di penempatan komuniti Trok Pho di Jalan Yaowarat, Daerah Samphanthawong kira-kira pukul 8:42 malam kelmarin berjaya dikawal sekitar tengah malam, menyebabkan sebahagian kawasan sibuk Chinatown ditutup untuk lalu lintas selama beberapa jam malam tadi.

    Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata penempatan komuniti Trok Pho terdiri daripada rumah-rumah kayu dan komuniti yang terjejas terdiri daripada bangunan sewa dua tingkat yang dikelilingi oleh rumah kedai, dengan akses yang sukar dan terhad.

    “Malam tadi, anggota bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk memadamkan api kerana kawasan yang padat. Kebakaran menjejaskan tiga kumpulan utama penduduk, kebanyakannya penyewa warga asing; bangunan hadapan yang turut terbakar dan Hospital Yayasan Thian Fah yang berdekatan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kebakaran.

    Beliau berkata walaupun bangunan hospital itu sendiri tidak rosak, asap telah menyusup masuk ke premis, memerlukan pemindahan 26 pesakit warga emas ke tempat perlindungan sementara di Wat Traimitr Withayaram Worawihan.

    Kebakaran malam tadi menjejaskan 60 isi rumah di komuniti Trok Pho Alley namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. – Bernama

    Anggota bomba berusaha memadamkan api berhampiran jalan Yaowarat di Chinatown di Bangkok pada 6 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda