Friday, March 7, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saham Alibaba melonjak susulan pelancaran AI baharu

    BEIJING, 6 MAC – Saham Alibaba melonjak lebih 7 peratus dalam dagangan di Hong Kong hari ini selepas syarikat teknologi China itu melancarkan model kecerdasan buatan (AI) baharu yang dikatakan mampu menyaingi DeepSeek, bintang teknologi mengejut tahun ini.

    Pelabur semakin optimis terhadap potensi AI China sejak Januari lalu, apabila DeepSeek memperkenalkan chatbot canggih pada kos yang jauh lebih rendah berbanding anggaran firma teknologi Barat.

    Alibaba dalam satu kenyataan memaklumkan model AI terbaharunya, QwQ-32B, yang diumumkan pagi tadi, mempunyai prestasi setanding dengan DeepSeek namun memerlukan data yang lebih sedikit untuk beroperasi.

    Saham gergasi e-dagang itu meningkat lebih tujuh peratus sebelum sesi dagangan separuh hari di Bursa Saham Hong Kong dihentikan seketika.

    Industri teknologi China secara keseluruhannya turut mengalami pemulihan keyakinan pasaran sejak beberapa minggu lalu.

    Pada Februari, pengasas bersama Alibaba, Jack Ma, dilihat menghadiri simposium bersama Presiden China, Xi Jinping, bersama pemimpin perniagaan utama negara itu, menamatkan bertahun-tahun menyepi daripada perhatian umum.

    Ma sebelum ini mengkritik peraturan kerajaan pada penghujung 2020, hanya beberapa minggu sebelum Beijing membatalkan penyenaraian saham mega Alibaba di pasaran saham.

    Tindakan susulan kerajaan dalam mengawal selia sektor teknologi menyebabkan syarikat-syarikat utama China mengalami kejatuhan nilai lebih satu trilion dolar AS.

    Bagaimanapun, kemunculan semula Ma dalam mesyuarat bulan lalu mencetus spekulasi mengenai potensi pemulihannya dalam arena perniagaan selepas pertelagahan dengan pihak berkuasa. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda