Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sauber tandatangani Gabriel Bortoleto

    HINWIL, 8 NOV – Sauber telah menandatangani pemandu Brazil berusia 20 tahun, Gabriel Bortoleto untuk membuat penampilan sulungnya dalam Formula 1 tahun depan sebagai rakan sepasukan Nico Hulkenberg.

    Keputusan itu bermakna pemandu semasa Sauber, Valtteri Bottas dan Zhou Guanyu tidak akan mempunyai tempat di F1 untuk musim 2025. Kedua-duanya belum berjaya meraih sebarang mata sepanjang musim dan kereta Sauber telah kurang berdaya saing.

    Menandatangani Bortoleto, yang kini mendahului kedudukan Formula 2 dengan baki dua pusingan lagi, memberikan Sauber gabungan antara pelumba remaja dan pengalaman bersama Hulkenberg yang berusia 37 tahun. Pengeluar kereta Jerman, Audi akan mengambil alih Sauber, yang akan digabungkan semula sebagai pasukan rasmi, Audi menjelang 2026.

    “Ini adalah salah satu projek yang paling menarik dalam sukan permotoran, jika bukan dalam keseluruhan dunia sukan. Menyertai pasukan yang menggabungkan sejarah sukan permotoran yang kaya dari Sauber dan Audi adalah satu penghormatan sebenar,” kata Bortoleto dalam satu kenyataan.

    “Selain menjadi ahli, saya berhasrat untuk berkembang dengan projek yang bercita-cita tinggi ini dan mencapai puncak sukan permotoran. Saya sangat bersyukur atas peluang yang diberikan oleh pasukan kepada saya dan berpeluang untuk bekerja bersama pemandu berpengalaman seperti Nico.”

    Bortoleto, yang memenangi kejuaraan F3 musim lalu, mula berlumba dalam kart sejak kecil sebelum keluarganya berpindah ke Eropah.

    Dia adalah pemandu Brazil sepenuh masa pertama dalam F1 sejak Felipe Massa bersara pada 2017. Pietro Fittipaldi pula hanya menyertai dua perlumbaan pada 2020 sebagai pengganti akibat kecederaan.

    Bortoleto menyertai program pemandu McLaren tahun lalu dan pasukan itu mengumumkan bahawa beliau akan dilepaskan pada akhir musim 2024 bagi membolehkannya meneruskan kerjaya F1 beliau. – AP

    Aksi pelumba Sauber semasa Grand Prix Formula Satu Brazil di litar perlumbaan Interlagos di Sao Paulo, pada 3 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda