Friday, November 22, 2024
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Saya merasa teruja pulang ke tanah air’

    JAKARTA, 21 NOV – Seorang wanita Filipina yang dijatuhi hukuman mati di Indonesia atas tuduhan dadah hari ini berkata bahawa dia berasa ‘teruja’ untuk pulang ke tanah air, selepas tercapainya perjanjian antara kedua-dua negara.

    Mary Jane Veloso ditangkap di Indonesia pada tahun 2010 kerana membawa sebuah beg yang menyembunyikan 2.6 kilogram heroin dan kemudiannya dijatuhi hukuman mati oleh skuad penembak.

    Kes ibu kepada dua orang anak itu mencetuskan kemarahan di Filipina, dengan keluarganya dan para penyokong mengatakan bahawa beliau tidak bersalah dan telah diperangkap oleh sindiket dadah antarabangsa.

    Presiden Filipina, Ferdinand Marcos kelmarin berkata Veloso akan diserahkan kepada Manila selepas bertahun-tahun rundingan yang panjang dan sukar.

    “Saya sangat teruja mendengar ada peluang untuk harapan saya kembali ke rumah dan bersama keluarga saya,” kata Veloso dalam kenyataan bertulis yang dibacakan oleh warden penjara, Evi Loliancy, hari ini.

    Ketua Penjara Wanita Kelas IIB, Evi Loliancy, menunjukkan gambar terkini Mary Jane Veloso (tengah), sedang bermain papan kekunci piano menjelang sambutan Krismas, semasa sidang media di Wonosari, Yogyakarta, kelmarin. – AFP

    “Saya bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terus berusaha agar saya dapat kembali ke negara saya,” katanya.

    Wanita berusia 39 tahun itu berkata bahawa beliau akan menggunakan kemahiran yang telah dipelajarinya di penjara, termasuk teknik mencelup kain tempatan, untuk mencari rezeki bagi dirinya dan keluarganya.

    Keluarga Veloso menegaskan bahawa dia telah diperdaya untuk menandatangani kontrak kerja sebagai pembantu rumah di luar negara yang tidak wujud dan tidak menyedari bahawa beg pakaian yang diberikan oleh perekrut mengandungi dadah yang disembunyikan.

    Kerajaan Filipina berjaya mendapatkan penangguhan hukuman pada saat-saat akhir untuk Veloso pada tahun 2015 selepas seorang wanita yang disyaki merekrutnya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pemerdagangan manusia, dalam kes di mana Veloso dinamakan sebagai saksi pendakwaan.

    Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yusril Ihza Mahendra, berkata Presiden Prabowo Subianto telah meluluskan pemindahan tersebut, yang dijangka akan dilaksanakan bulan depan.

    Pemimpin Filipina, Marcos, kelmarin memuat naik mesej mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatannya di Indonesia.

    Beliau berkata kisah Veloso “memberi kesan kepada ramai orang: seorang ibu yang terperangkap oleh cengkaman kemiskinan, yang membuat satu pilihan terdesak yang mengubah hala tuju hidupnya”. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda