Sunday, May 12, 2024
34.7 C
Brunei

    -

    Seluang unik tarikan peminat akuarium

    Oleh Raz AS –

    Sering kali penggemar hobi akuarium dan ikan hiasan di negara ini, berkunjung ke kedai-kedai ikan hiasan untuk membeli ikan hiasan yang datang dalam pelbagai spesies eksotik penuh warna-warni yang menarik.

    Kebanyakan ikan-ikan yang dijual merupakan spesies-spesies luar negara kebiasaannya yang asli di Amerika Selatan dan Sungai Amazon seperti daripada spesies corydoras, pleco, angelfish, tetra dan cichlid.

    Ikan-ikan ini sememangnya spesies yang biasa dibela oleh penggemar hobi akuarium dan ikan hiasan di seluruh dunia, termasuk di rantau ini dan di negara kita.

    Namun sebenarnya, negara kita juga mempunyai spesies ikan berwarna yang menarik, yang menjadi kegilaan peminat hobi dari serata dunia. Ia tidak lain tidak bukan spesies yang dikenali sebagai clown rasbora.

    Clown rasbora adalah salah satu spesies ikan seluang yang boleh didapati di kawasan pedalaman dan hulu sungai di sebahagian negara di Asia Tenggara iaitu semanjung Malaysia, Sumatera, dan Pulau Borneo, termasuk di negara ini.

    Clown rasbora memiliki warna badan kemerahan dan tompok hitam di bahagian sisinya. – FISH LABORATORY
    Ikan ini boleh didapati di sungai-sungai kecil dan paya, di mana airnya berwarna kehitaman disebabkan tanin yang datang daripada bahan organik mereput dan tanah gambut. – MONGABAY

    Tidak seperti ikan seluang yang kebanyakannya menghuni sungai-sungai besar yang mempunyai warna badan perak, clown rasbora memiliki warna badan kemerahan dan tompok hitam di bahagian sisinya.

    Ikan ini boleh didapati di sungai-sungai kecil dan paya, di mana airnya berwarna kehitaman disebabkan tanin yang datang daripada bahan organik mereput dan tanah gambut, di mana ia berkongsi habitat dengan ikan patingkang atau lebih dikenali sebagai betta.

    Clown rasbora mempunyai jangka hayat yang boleh mencecah sehingga empat tahun dan membesar sehingga kira-kira 10cm panjang atau panjang 4 inci. Seekor atau sekawanan ikan clown rasbora bolehlah ditempatkan di dalam sebuah akuarium yang mempunyai besar kira-kira panjang 3 kaki ke atas atau isi padu 200 liter ke atas.

    Warna ikan ini akan lebih menyerlah sekiranya akuarium tersebut dihiasi dengan tumbuhan atau kayu tenggelam bersama substrat gelap di bahagian dasarnya. Selalunya daun ketapang atau Indian almond, yang juga senang didapati di negara ini, digunakan untuk mengubah warna air akuarium agar ia kelihatan lebih natural seperti di habitat asalnya.

    Bersifat damai, clown rasbora merupakan spesies yang sesuai ditempatkan bersama ikan-ikan lain yang mempunyai sifat serupa untuk menghidupkan lagi kemeriahan akuarium awda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jumlah korban banjir di Afghanistan melebihi 330 orang

    KABUL, 12 MEI - Lebih daripada 330 orang telah terkorban akibat hujan ribut  dan banjir kilat yang melanda sebahagian besar wilayah Baghlan, Takhar, Badakhshan,...