Friday, September 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    SESB laksana pemasangan penjana turbin

    KOTA KINABALU, 25 SEPT – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan melaksanakan kerja-kerja pembekalan dan pemasangan penjana elektrik turbin gas di daerah Kimanis, yang dijangka siap Jun tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yaakob Jaafar.

    Beliau berkata projek loji janakuasa ber-asaskan gas itu, bertujuan meningkatkan rizab kapasiti penjanaan di Grid Sabah.

    Mohd Yaakob berkata SESB telah menerima surat pemberitahuan (LoN) daripada Energy Commission of Sabah (ECoS) bagi kerja-kerja pembekalan dan pemasangan penjana turbin gas dengan kapasiti sebanyak 94 Megawatt (MW).

    “Projek itu juga adalah antara inisiatif jangka masa pendek yang perlu dilaksanakan berdasarkan kepada Pelan Pembangunan Penjanaan yang telah diluluskan Majlis Tenaga Sabah (MTS),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau berkata keperluan untuk melaksanakan projek laluan pantas itu amat kritikal untuk memastikan kapasiti penjanaan yang mencukupi dan menjamin kestabilan sistem Grid Sabah.

    Loji janakuasa gas tersebut akan disambungkan ke sistem Grid Sabah dengan menggunakan injection point di Pencawang Masuk Utama (PMU) Langsat, Kimanis. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda